MANILA, 17 JULAI – Seorang bekas pekerja hotel yang tidak berpuas hati telah ditahan atas pembunuhan dua warga Australia dan seorang warga Filipina di Filipina, menurut seorang pegawai kerajaan dan polis, hari ini.
Mayat seorang lelaki dan dua wanita ditemui di sebuah bilik hotel di bandar Tagaytay, selatan Manila, pada 10 Julai, dengan tangan dan kaki mereka diikat serta mulut ditutup dengan pita pembungkusan.
Suspek dikenal pasti melalui rakaman CCTV sebagai bekas pekerja hotel tersebut, kata Datuk Bandar Tagaytay, Abraham Tolentino kepada AFP.
Lelaki itu, yang dipecat kerana mencuri, telah melarikan diri ke sebuah wilayah berdekatan.
“Dia menyerah diri semalam dan mengakui segala-galanya,” kata Tolentino.
“Dia berkata ini adalah dendamnya,” tambah Tolentino.
Polis memberitahu AFP bahawa lelaki itu adalah seorang pekerja utiliti di hotel tersebut ketika dia dipecat pada bulan Mac.
“Berdasarkan maklumat yang dikumpul, dia dapat masuk ke dalam bilik dengan melalui tingkap belakang,” kata Mejar Jean Alagos, pegawai maklumat awam bagi polis wilayah Cavite.
Mangsa warga Australia telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Filipina sebagai David James Fisk dan Lucita Barquin Cortez, manakala mangsa warga Filipina adalah Mary Jane Cortez. – AFP