Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas pelajar culik, bunuh sarjana Cina

    PEORIA, AMERIKA SYARIKAT) 25 JUN – Brendt Christensen, bekas penuntut doktor falsafah di Fakulti Urbana-Champaign, Universiti Illinois (UIUC), didapati bersalah semalam kerana menculik dan membunuh Zhang Yingying, seorang sarjana pelawat dari China di UIUC pada 2017, lapor agensi berita Xinhua.

    Hakim 12 anggota sebuah mahkamah persekutuan di Peoria di negeri Illinois, AS secara sebulat suara memutuskan bahawa Christensen bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya iaitu menculik sehingga mengakibatkan kematian Zhang pada 2017 dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

    Hakim mengambil masa kurang dua jam untuk membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan menutup hujah masing-masing pada pagi semalam.

    Dalam sidang akhbar selepas itu di luar mahkamah, Zhang Ronggao, bapa mangsa, memberitahu Xinhua bahawa beliau berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan berharap keadilan ditegakkan melalui hukuman yang bakal dijatuhkan pada 8 Julai dan pada tarikh itu, hakim akan menentukan sama ada Christensen layak mendapat hukuman mati.

    Ibu Zhang, yang berada di sebelah bapa mendiang, kelihatan sebak sebelum mengalirkan air mata.

    Zhang, seorang sarjana pelawat dari China yang berusia 26 tahun, dilaporkan hilang pada 9 Jun 2017 selepas menaiki sebuah kereta jenis Saturn Astra hitam kira-kira lima blok dari tempat beliau turun bas dan dalam perjalanan ke sebuah kompleks pangsapuri untuk menandatangani satu perjanjian sewa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda