Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT – Beberapa ahli kumpulan perjumpaan semula yang terdiri daripada bekas pelajar dan guru Sekolah Melayu Muhammad Alam (SMMA) yang kini dikenali sebagai Sekolah Rendah Muhammad Alam (SRMA) dari tahun 1950 hingga 1968 telah mengadakan Doa Arwah dan penyerahan sumbangan pada 27 Mac lalu di Pejabat Daerah Belait Cawangan Seria.
Di antara yang hadir ke upacara tersebut ialah Pemangku Pengetua sekolah, Dayang Siti Haironi binti Haji Ibrahim, yang disambut oleh Awang Hassan bin Haji Masri, sebagai wakil bagi pihak pengerusi kumpulan perjumpaan semula, Dr Haji Muhd Shah bin Imam Haji Ahmad.
Dalam ucapan alu-aluannnya, Awang Hassan menjelaskan bahawa upacara tersebut merupakan pertemuan kali pertama sejak mereka tamat pengajian untuk tidak hanya memberi kembali sekolah bagi membantu para pelajar dalam aktiviti seharian mereka, tetapi juga berfungsi untuk meningkatkan kesedaran mengenai aktiviti semasa kumpulan dalam mengumpulkan bekas pelajar dan guru untuk mengenangkan masa mereka di sekolah.
Antara aktiviti yang dijalankan dalam acara tersebut termasuklah bacaan Doa Arwah, diikuti dengan penyerahan sumbangan dalam bentuk keperluan asas yang dikumpulkan oleh anggota kumpulan perjumpaan.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh salah seorang ahli kumpulan dan bekas guru sekolah berkenaan, Haji Abdullah bin Abdul Rahman kepada lima anak yatim yang merupakan murid sekolah tersebut.
Di samping itu, kumpulan ini juga menyerahkan sejumlah bantuan kewangan yang dilakukan atas nama kumpulan itu oleh penasihat mereka Hajah Julia Chee. Kedua-dua sumbangan itu diterima oleh pemangku pengetua bagi pihak sekolah.

