Bekas pemandu F1 kritikal

MILAN, 21 JUN – Bekas pemandu Formula Satu (F1), Alex Zanardi yang dipotong kedua-dua kakinya kerana kemalangan ketika perlumbaan hampir 20 tahun lalu sebelum menjadi juara Paralimpik, berada dalam ‘keadaan sangat serius’ di hospital semalam kerana melanggar trak ketika bersaing dalam perlumbaan basikal tangan di Itali.

Zanardi menyertai satu daripada peringkat perlumbaan berganti-ganti ‘Obiettivo tricolore’ di Tuscany apabila dia hilang kawalan ketika menurun bukit dan termasuk ke laluan trak dekat Montalcino. Atlet berusia 53 tahun itu diterbangkan ke hospital dekat Siena dan menjalani pembedahan kecemasan kerana kecederaan parah di muka sebelum diletakkan di unit rawatan rapi.

“Kerana kecederaan kepala yang serius, proses pembedahan dilakukan sejurus 7 malam dan tamat sebelum 10 malam,” kata kenyataan hospital berkenaan.

“Pesakit dipindahkan ke unit rawatan rapi. Keadaannya sangat serius.”

Mario Valentini, jurulatih pasukan kebangsaan paralimpik Itali, memberitahu akhbar Corriere Della Sera: “Basikal Alex hilang kawalan, dua kali berguling dan bertembung dengan trak.

Kemalangan itu sangat teruk.” Zanardi adalah bekas pemandu Grand Prix yang menang dua kali Kejuaraan CART di Amerika Syarikat sebelum kedua-dua kakinya dipotong kerana kecederaan di Litar Lausitzring dekat Jerman pada 2001. Dia kemudian menang empat pingat emas dalam acara basikal tangan pada Sukan Paralimpik 2012 dan 2016 selain dua perak dan 10 gelaran Kejohanan Dunia. – AFP