BEIJING, 30 NOV – Bekas pemimpin China Jiang Zemin, yang menerajui negara melalui era transformasi dari akhir tahun 1980 sehingga milenium baharu, meninggal dunia hari ini pada usia 96 tahun, menurut agensi berita Xinhua.
Jiang menerajui tampuk pemerintahan selepas peristiwa berdarah pembunuhan beramai-ramai di Dataran Tiananmen 1989 dan memimpin negara dengan populasi paling ramai di dunia menjadi kuasa besar di pentas dunia.
“Jiang Zemin meninggal dunia akibat leukemia dan kegagalan organ di Shanghai pada 12:13 petang, hari ini, demikian menurut pengumuman yang keluar hari ini,” lapor Xinhua. Xinhua berkata pengumuman kematiannya dibuat dalam sepucuk surat menyatakan ‘kesedihan mendalam’ atas kematian Jiang, ditujukan kepada Parti Komunis, tentera dan rakyat China.
“Komrad Jiang Zemin adalah seorang pemimpin yang ulung..ahli revolusi proletariat, pendukung Marxis, negarawan, ahli strategi tentera dan diplomat, pejuang komunis serta pemimpin unggul yang memperjuangkan sosialisme berpandukan fahaman China,” Xinhua memetik surat yang dikeluarkan. Mendiang meninggalkan isteri, Wang Yeping dan dua anak lelaki. – AFP
