Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas pengarah syarikat didakwa tipu projek pembinaan di Thailand

    KUALA LUMPUR, 11 SEPT – Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas pertuduhan menipu membabitkan projek pembinaan pusat janakuasa, landasan keretapi dan pelabuhan di Songkhla, Thailand pada 2016.

    Zainol Abidin Omar, 66, didakwa memperdayakan seorang individu untuk mempercayai bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan projek pembinaan pusat janakuasa, landasan kereta api dan pembangunan pelabuhan di Songkhla, Thailand sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,907,427 ke dalam akaun bank milik TBEA Energy & Power (M) Sdn Bhd.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bangunan pejabat di Jalan Stesen Sentral 2, pada November 2016 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun serta boleh disebat dan didenda, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa, Mohd Zulfadli Azharudin, menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. – Bernama

    Zainol Abidin Omar (dua, kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu membabitkan projek pembinaan pusat janakuasa, landasan keretapi dan pelabuhan di Songkhla, Thailand pada 2016. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda