Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas pengurus Hael didakwa seleweng RM28,000

    Pihak pengurusan penyanyi Malaysia, Hael Husaini iaitu Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd (RFE) memfailkan saman terhadap seorang individu didakwa melakukan penyelewengan wang berjumlah RM28,000.

    Menurut Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Rajahram Anand, kes tersebut membabitkan urusan persembahan sebuah acara hiburan melibatkan bekas pengurus kepada penyanyi berkenaan yang berlangsung pada Januari tahun lalu.

    “Pada pertengahan tahun lalu, kami telah membuat satu laporan polis terhadap seorang bekas pekerja yang disyaki menyeleweng sejumlah wang daripada tawaran persembahan yang diterima Hael.

     “Selepas membuat laporan polis itu, kami membuat keputusan untuk mendakwa dia di mahkamah. Kes ini melibatkan seorang individu dengan dakwaan penyelewengan berjumlah RM28,000.

    “Pada hari ini (Isnin), kami hadir untuk perbicaraan kes yang bakal disambung pada pukul 2 petang ini,” katanya kepada mStar.

    Hael mahu kes saman terhadap bekas pengurus dijadikan iktibar buat orang ramai. – Agensi

    Prem berkongsi perkara itu ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin.

    Dalam pada itu, Prem memberitahu pihak pengurusan terpaksa membuat laporan polis selepas usaha perbincangan bayaran semula gagal mendapat kerjasama daripada individu terbabit.

    Jelas Prem, individu terbabit mencabar Rocketfuel untuk menyelesaikan kes itu secara undang-undang.

    “Sebelum kami membuat laporan polis, kami meminta individu tersebut membayar wang selama dua minggu tetapi gagal dilunaskan.

    “Apabila kami meminta bayaran tersebut, dia mahu menyelesaikan kes secara undang-undang.

    “Penyelewengan berlaku pada Januari tahun lalu dan kami membuat laporan polis pada Jun tahun lalu serta sebutan kes pertama pada November 2024,” ujarnya.

    Sementara itu, Hael yang hadir sebagai saksi kes itu bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut dan berharap perkara ini menjadi iktibar buat semua pihak. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda