WASHINGTON, 14 Mac – Seorang hakim persekutuan pada Rabu menjatuhi hukuman penjara 43 bulan lagi ke atas bekas pengurus kempen Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi kesalahan bersubahat, lapor agensi berita China Xinhua.
“Sukar untuk menafsirkan jumlah pembohongan dan jumlah penipuan serta jumlah wang yang terlibat, sebahagian besar tempoh kerjayanya dihabiskan dengan memperjudikan sistem tersebut,” kata Hakim Amy Jackson dari Mahkamah Daerah Persekutuan di Washington yang mendengar kes itu.
Bercakap dalam sidang akhbar sebuah majlis pada Rabu, Trump berkata beliau berasa “amat kasihan” kepada Manafort dan menyifatkan Manafort kini dalam “keadaan yang amat teruk.”
Trump berkata beliau “belum terfikir” untuk memaafkan Manafort. Keputusan itu akan menyaksikan tempoh hukuman penjara Manafort selama 47 bulan, yang dijatuhi seorang hakim persekutuan dalam kes lain di negeri Virginia, akan bertambah menjadikan pelobi veteran Parti Republikan itu terpaksa meringkuk dalam tahanan selama tujuh tahun setengah.
Hukuman Manafort disifatkan sebagai lebih ringan berbanding jangkaan sebelum ini.
Penghakiman itu menutup kes berprofil tinggi susulan siasatan Peguam Khas Robert Mueller, yang bertujuan membongkar dakwaan bahawa terdapat pakatan sulit antara kempen Trump dan Rusia.
Meskipun Manafort telah disabitkan dengan pelbagai pertuduhan penipuan dan konspirasi, tiada satupun yang berkaitan dengan kerjanya dalam kempen Trump serta tidak mendedahkan urusan tidak wajar antara kempen Trump dan Rusia.
Manafort, 69, menyertai pasukan kempen Trump pada Mac 2016 dan kemudian menjadi pengerusi kempen pemimpin itu sehingga pertengahan bulan Ogos tahun tersebut.
Beliau telah disabitkan dalam perbicaraan kes berkaitan cukai serta penipuan bank di sebuah mahkamah persekutuan Virginia dan telah mengaku bersalah bagi kesalahan lain. – Bernama