YOKOHAMA, 3 FEB – Bekas penumpang kapal persiaran Diamond Princess, hari ini, meletakkan bunga di Pelabuhan Yokohama bagi mengenang 13 orang yang meninggal dunia akibat wabak COVID-19 di atas kapal itu lima tahun lalu, lapor agensi berita Kyodo.
Penularan jangkitan di atas kapal pada Februari 2020 mengakibatkan 3,711 orang dikuarantin selepas kapal itu berlabuh di pelabuhan berhampiran Tokyo.
Jepun kemudian menghentikan kemasukan kapal persiaran asing pada bulan berikutnya selama tiga tahun.
Kerajaan Jepun menerima kritikan kerana membiarkan penumpang berada di atas kapal untuk tempoh yang lama walaupun kemudahan perubatannya terhad.
Pihak berkuasa juga menghadapi kesukaran mencari kemudahan perubatan bagi merawat pesakit apabila jumlah jangkitan meningkat.

Penumpang yang dijangkiti penyakit itu dibenarkan turun dari kapal pada 14 Februari selepas kapal berlabuh pada 3 Februari, dengan kebanyakan penumpang lain mula meninggalkan kapal berkenaan pada 19 Februari dan proses itu hanya selesai pada 1 Mac.
Kegagalan melaksanakan langkah kuarantin ketat, seperti mengarahkan penumpang kekal di kabin sebaik kes pertama COVID-19 dikesan, dipercayai menjadi antara punca penyebaran jangkitan di dalam kapal.
Satu papan bertulis ‘Jangan biarkan tragedi seperti ini berulang lagi’ dipamerkan, sementara tarikh kemasukan ke hospital dan kematian mangsa turut tertera.
Ryohei Nakata, 78, yang dijangkiti bersama isterinya ketika di atas kapal, berkata insiden itu perlu menjadi pengajaran kepada semua.
“Tragedi seburuk ini tidak boleh berulang lagi. Siasatan menyeluruh perlu dilakukan,” katanya, yang menghadiri acara peringatan ini setiap tahun.
Sementara itu, Persatuan Bekas Penumpang kapal itu terus menggesa kerajaan Jepun menjalankan siasatan, termasuk mendapatkan keterangan penumpang dan kru. – Bernama