TUTONG, 15 MEI – Seramai 31 orang bekas penuntut Sekolah Melayu Muda Hashim Tutong (SMHHT) bagi tahun 1974 hingga 1980 telah menghadiri Majlis Reunion ke-10 pada 10 Mei lalu sekali gus berkumpul sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Majlis berkenaan juga dihadiri oleh bekas guru-guru yang pernah mengajar dalam tempoh tersebut.
Majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Kegiatan Warga Emas, Tutong tersebut dimulakan dengan bacaan doa selamat serta ucapan ringkas daripada Pengerusi Pertubuhan Bekas Penuntut SMHHT, Awang Roslan bin Abdul Rani.
Suasana perjumpaan diserikan dengan jamuan ringan dan sesi beramah mesra. Para hadirin mengambil kesempatan untuk bertanya khabar dan berkongsi perkembangan kehidupan masing-masing, sambil mengenang kembali zaman persekolahan yang telah lama berlalu.
