Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 terus menerima sokongan apabila bekas-bekas penuntut Tingkatan 4, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASC) tahun 1975 menyumbangkan sebanyak $4,450 hasil kutipan daripada Majlis Perkumpulan Jubli Emas mereka yang diadakan pada 27 April lalu.
Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung pagi tadi di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sambutan 50 Tahun Penuntut Tingkatan 4, SOASC tahun 1975, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.
Turut hadir menyaksikan penyerahan tersebut ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, dan Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, selaku pengerusi majlis, bersama beberapa bekas penuntut SOASC tahun 1975.
Sumbangan berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan masyarakat untuk menyokong rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik di Gaza.
Dalam pada itu, tempoh kutipan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 telah dilanjutkan selama enam bulan lagi, iaitu sehingga 18 Oktober 2025 bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk meneruskan aktiviti amal dan sumbangan derma.
Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan amal perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan, sekiranya 100 peratus hasil kutipan disumbangkan kepada tabung berkenaan.
Bagi kutipan sebahagian daripada hasil hiburan awam, permohonan perlu dibuat melalui Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) nombor 00-001-01-0089051, atau melalui BIBD QuickPay dengan mengimbas kod QR yang tersedia di poster dan pelekat rasmi tabung berkenaan.
Peti-peti tabung turut disediakan di masjid, surau, balai ibadat, bangunan bank, gedung perniagaan dan bangunan awam di seluruh negara. Derma secara terus juga boleh dihantar ke Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, JAPEM, di Bangunan KKBS, pada waktu pejabat.