Bekas peserta American Idol, Doug Kiker, 32, musim 2020, meninggal dunia secara mengejut, pada Jumaat.
Memetik laporan BH Online, berita itu disahkan anggotanya keluarganya yang menyifatkan pemergian Kiker sangat tidak disangka dan mereka belum bersedia dengan kehilangannya.
Bagaimanapun, punca kematian Kiker tidak dinyatakan. Adik perempuannya, Angela berkata, Kiker sangat disayangi dan ramai menghubunginya mengenai berita sedih itu.
“Memandangkan berita ini sangat luar jangkaan dan kami belum bersedia, kami perlukan bantuan bawa dia pulang ke kampung halaman dari Denver, Colorado serta adakan upacara pengebumian untuk semua.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakannya pada waktu cukup sukar ini. Hanya Tuhan saja tahu kesukaran yang kami lalui beberapa tahun kebelakangan ini.

“Douglas Kiker, kamu akan terus hidup selamanya dalam hati kami,” katanya.
Bekas tunangnya, Valerie Cook turut berduka atas pemergian itu dan terkesan apabila dua anak mereka kini kehilangan bapanya.
Penyanyi yang terkenal sebagai The Singing Garbage Man itu bertanding pada musim ke-18 American Idol pada 2020. Dia menyanyikan lagu Bless the Broken Road (Rascal Flatts) ketika uji bakat.
Persembahannya berjaya mendapat standing ovation daripada juri, malah Katy Perry tersentuh sehingga mengalirkan air mata. Bagaimanapun, Kiker gagal layak ke Top 20 musim berkenaan.
Pada 2021, Kiker pernah ditangkap atas kesalahan keganasan domestik. – Agensi