Saturday, February 15, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas PM Bangladesh jalani rawatan di London

    DHAKA, 8 JAN – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia, telah diterbangkan ke London untuk menjalani rawatan perubatan, menurut jurucakap parti beliau, beberapa bulan selepas revolusi pelajar menggulingkan kerajaan yang menghalangnya daripada berkunjung ke luar negara.

    Zia, 79, yang pernah menyandang jawatan sebagai perdana menteri sebanyak dua kali, dipenjarakan atas kesalahan rasuah pada tahun 2018 semasa pentadbiran Sheikh Hasina, pengganti beliau dan pesaing politik seumur hidup.

    Kejatuhan Hasina dan buangan ke India selepas pemberontakan Ogos lalu terhadap pemerintahannya yang bersifat autokratik mendorong Zia dibebaskan daripada tahanan rumah.

    Jurucakap Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), Zahir Uddin Swapan, mengesahkan penerbangan Zia pada malam kelmarin.

    Zia dilihat meninggalkan kediamannya menaiki kereta menuju ke lapangan terbang di Dhaka, di mana beliau berlepas dengan penerbangan sewa khas yang disediakan oleh Emir Qatar.

    Gambar fail menunjukkan bekas Perdana Menteri Bangladesh dan pengerusi BNP, Khaleda Zia selepas menghadiri mahkamah di Dhaka, Bangladesh. – AP

    Agensi berita kerajaan Bangladesh, Bangladesh Sangbad Sangstha melaporkan bahawa rawatannya di London dijangka memakan masa beberapa bulan.

    Zia, yang telah mengalami masalah kesihatan selama bertahun-tahun, kini menggunakan kerusi roda akibat arthritis rheumatoid, juga menghidap diabetes dan sirosis hati.

    Kerajaan Hasina sebelum ini berulang kali menolak permohonan Zia untuk mendapatkan rawatan di luar negara selepas disabitkan kesalahan.

    Zia jarang dilihat di khalayak ramai sejak pembebasannya. Penampilan terakhirnya adalah semasa sambutan Hari Angkatan Tentera pada bulan November, di mana beliau kelihatan lemah.

    Menurut AZM Zahid Hossain, doktor peribadi Zia dan ahli jawatankuasa tetap BNP, Zia juga mungkin akan menerima rawatan di Hospital Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, selepas tempohnya di London. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda