KUWAIT CITY, 2 JUN – Amir Kuwait kelmarin menamakan Sheikh Sabah Khaled al-Hamad al-Sabah sebagai putera mahkota baharu, menurut laporan media kerajaan, hanya enam bulan selepas mengambil alih takhta dan beberapa minggu selepas menggantung parlimen.
Sheikh yang berusia 71 tahun itu pernah menjadi menteri luar dari 2011 hingga 2019 dan kemudian perdana menteri hingga 2022.
Kuwait mengalami pergolakan politik baharu pada Mei ketika Amir berusia 83 tahun, Sheikh Meshal al-Ahmad al-Sabah, membubarkan parlimen hanya enam minggu selepas pilihan raya. Beliau juga menangguhkan beberapa peruntukan dalam perlembagaan.
Beliau kemudian menamakan kerajaan kedua sejak beliau mengambil alih jawatan ketua negara pada Disember.
Tidak seperti negara-negara Teluk yang lain, Kuwait mempunyai parlimen yang berpengaruh manakala kebanyakan kuasa masih berada di tangan keluarga diraja. – AFP
