Wednesday, December 18, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas PM New Zealand gesa hidupkan semula multilateralisme

    MADRID, 18 DIS – Bekas Perdana Menteri New Zealand, Jenny Shipley, menyeru dihidupkan semula multilateralisme dan kerjasama global serta pembaharuan institusi antarabangsa bagi menangani cabaran global yang semakin meningkat.

    “Kerangka institusi multilateralisme adalah rapuh. Walaupun ia telah berkhidmat dengan baik kepada dunia, ia memerlukan pembaharuan dan komitmen,” kata Shipley di luar Forum Antarabangsa Imperial Springs 2024 yang diadakan minggu lepas di Madrid, Sepanyol.

    Beliau menekankan kerapuhan rangka kerja multilateralisme semasa dan perlunya negara-negara memperkukuh sistem itu.

    “Mekanisme global mesti terus relevan,” katanya.

    Shipley menegaskan perdagangan sebagai bidang utama yang kerjasama multilateral adalah kritikal, menggesa negara-negara mengutamakan dialog berbanding tindakan unilateral.

    “Jika ada konflik, mesti wujud ruang untuk mencari penyelesaian dan WTO tidak berfungsi seperti sepatutnya,” katanya, menyeru kepimpinan, pembaharuan dan pemulihan institusi perdagangan global.  

    Mengenai pertikaian berterusan antara Kesatuan Eropah (EU) dan China berhubung kenderaan elektrik (EV), Shipley mengkritik dasar perlindungan di rantau itu yang menurutnya menghalang kemajuan dalam menangani perubahan iklim. Beliau memberi contoh keterbukaan New Zealand terhadap EV China sebagai model bagaimana persaingan dan kerjasama dapat memberi manfaat kepada pengguna dan planet ini.

    “Ketika kita berusaha mengurangkan pelepasan karbon di seluruh dunia, adalah tidak bijak untuk menyekat kemasukan EV yang mampu dimiliki rakyat,” katanya sambil menambah yang langkah perlindungan hanya melambatkan peralihan kepada pasaran yang kompetitif dan merugikan pengguna. – Bernama

    Shipley ketika menjawab soalan pada Sidang Kemuncak Pemimpin Wanita Antarabangsa bagi Inisiatif Keselamatan Global pada 16 November 2007 di New York. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda