BANGKOK, 19 OKT – Parti politik tertua Thailand kelmarin mengundi untuk mengembalikan bekas perdana menteri konservatif, Abhisit Vejjajiva, sebagai ketua parti yang memerintah negara itu ketika berlaku tindakan ketenteraan ke atas penunjuk perasaan ‘Baju Merah’.
Abhisit memimpin Thailand dari 2008 hingga 2011 ketika krisis kewangan global dan meraih populariti awal kerana gaya perbahasannya yang fasih.
Namun, kepimpinannya dalam Parti Demokrat dibayangi oleh tindakan keras tentera terhadap penunjuk perasaan ‘Baju Merah’ pada 2010 yang meragut lebih 90 nyawa dan mencederakan lebih 2,000 orang.
Abhisit digelar oleh pihak lawan sebagai ‘Perdana Menteri berdarah di tangannya’ dan karier politiknya merosot dalam tahun-tahun berikutnya akibat perpecahan dalaman parti, sehingga beliau meletak jawatan sebagai ketua dan menarik diri daripada keanggotaan parti pada 2023.
Kelmarin, ahli parti memilih untuk mengembalikan beliau sebagai ketua dengan sokongan 96 peratus, hasil undian yang disiarkan secara langsung di media tempatan.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan semua kepada kemampuan saya sekali lagi,” kata Abhisit, 61 tahun, yang mengenakan warna biru parti, kepada ahli selepas undian.
“Hati saya tidak pernah meninggalkan tempat ini.”
Thailand kini diperintah oleh kerajaan minoriti, dengan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berjanji untuk membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya baharu dalam tempoh empat bulan. – AFP


