Bekas PM Turki lancar parti baharu

ANKARA, 13 DIS – Seorang bekas perdana menteri dan bekas sekutu Presiden Recep Tayyip Erdogan melancarkan parti baharu hari ini, berkata ia akan menentang politik ‘kultus pemimpin’.

Ahmet Davutoglu, yang berkhidmat sebagai perdana menteri di antara 2014 hingga 2016 dan pengerusi parti pemerintah Erdogan, memperkenalkan Parti Masa Depan pada satu majlis di Ankara.

“Sebagai satu parti, kami menolak gaya politik di mana timbulnya kultus pemimpin dan kakitangan yang pasif,” kata Davutoglu, berdiri di bawah kain rentang besar yang memaparkan pengasas republik Turki, Mustafa Kemal Ataturk.

Davutoglu, 60, tidak menyebut nama Erdogan dalam ucapan hampir satu jam, namun mengkritik kuasa besar-besaran yang diberikan kepada presiden di bawah perubahan perlembagaan tahun lalu. – AFP