JACKSON, 15 MAC – Seorang bekas pegawai polis Mississippi mengaku bersalah kelmarin atas tuduhan jenayah persekutuan selepas pihak berkuasa berkata dia memaksa seorang lelaki yang ditangkapnya menjilat air kencing dari lantai sel penjara.
Michael Christian Green, 26, kehilangan pekerjaannya sebagai pegawai peronda Jabatan Polis Pearl pada akhir Disember, empat hari selepas kamera keselamatan menunjukkan pertembungan ganas di Pearl, pinggir bandar ibu kota Jackson.
Green, yang mempunyai tatu salib besar di sebelah tangan dan perkataan ‘Blessed’ di lengannya yang sebelah, berdiri dengan tenang di hadapan hakim majistret persekutuan kelmarin dan tidak mempertikaikan mana-mana tuduhan yang dibacakan oleh pendakwa raya persekutuan.
Apabila Hakim Andrew Harris bertanya bagaimana Green merayu atas tuduhan merampas hak sivil, dia menjawab, “Bersalah, tuan.”
Awal kelmarin, Datuk Bandar Pearl, Jake Windham mengadakan sidang akhbar dan mengutuk kekejaman Green terhadap individu dalam tahanan.
“Saya tidak faham bagaimana awda memperlakukan seseorang seperti itu,” kata Windham.
Walaupun dokumen mahkamah tidak menyebutkan tentang bangsa, Green adalah berkulit putih dan jurucakap Pearl berkata lelaki yang ditangkapnya adalah dari bangsa Latino.
Dokumen pertuduhan telah dikeluarkan pada 4 Mac dan dibuka pada Rabu.
Ia mengatakan Green menahan lelaki itu pada 23 Disember selepas gangguan di sebuah kedai di Pearl. – AP
