KUALA LUMPUR – Hanya dalam dua minit, beberapa biji belon biasa bertukar menjadi sekuntum bunga raya di tangan Syed Shahrizal Syed Othman, yang lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon Cakewhat’.
Bekas ketua pramugara AirAsia X yang berasal dari Ipoh, Perak, itu cekap mengolah belon bulat dan panjang menjadi kelopak demi kelopak, lengkap dengan kudup menerusi seni belon.
“Nampak mudah bukan? Sebenarnya tidak. Saya sendiri ambil masa hingga enam bulan untuk menguasainya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Cheras, baru-baru ini.
Syed Shahrizal, 44, berkata pengalaman sebagai pramugara selama 17 tahun yang menyaksikan beliau mengembara ke pelbagai negara, membuka matanya dan memberikan beliau ilham untuk mengembangkan seni belon di negara sendiri.
“Di luar negara seperti Venezuela, seni belon sangat kreatif. Saya rasa ini sesuatu yang menarik, jadi saya cuba bawa pulang idea ini untuk masyarakat tempatan yang jarang melihatnya,” katanya yang banyak mengutip ilmu daripada sumber dalam talian dan menjadikan reka bentuk artis belon antarabangsa sebagai rujukan sebelum diubah suai mengikut gaya sendiri dan cita rasa tempatan.




Reka bentuk unik seperti bunga sebenar itu mula tular dalam kalangan komuniti dekorasi belon tempatan dan luar negara selepas dipertontonkan menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya @abangbeloncakewhat yang kini mempunyai lebih 70,000 pengikut.
Selain bunga raya, Syed Shahrizal turut menghasilkan antaranya bunga daisi, matahari, mawar, tulip serta beg tangan dan terowong belon untuk majlis hari jadi, perkahwinan serta acara korporat yang kini menjadi identitinya dalam dunia seni belon.
“Cuma, cabarannya jangka hayat belon ini tidak lama… kadang-kadang dalam sehari dua pun dah kecut. Jadi, saya hasilkan ‘Absolute Balloon Care’, yang berfungsi sebagai pelindung untuk memanjangkan hayat belon hingga 14 hari,” katanya.
Mula menceburi seni belon sedekad lalu, Syed Shahrizal hanya aktif ketika pandemik melumpuhkan industri penerbangan, dan perniagaan yang ditubuhkannya itu pada asalnya sekadar hobi akhirnya mengubah hala tuju hidupnya.
“Waktu COVID-19, semua orang tidak dibenarkan keluar rumah, jadi ramai pelanggan mula membuat permintaan untuk ‘surprise delivery’.
Dari situ perniagaan ini mula berkembang dan saya lihat perniagaan ini ada potensi besar,” katanya yang pernah menjalankan perniagaan kek secara sambilan.
Selain menerima tempahan, Syed Shahrizal turut aktif menawarkan kelas seni belon secara fizikal melalui kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta, antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat dengan bayaran bermula RM290.
“Kelas dibahagikan kepada tiga peringkat teori dan praktikal. Kita ajar dari kosong, bermula dari jenis-jenis belon, peralatan asas, teknik membentuk bunga… sampai mereka boleh buat dekorasi sendiri,” katanya yang turut mengendalikan kelas di Jakarta, Indonesia.
Beliau berharap bakat-bakat tempatan dalam bidang ini dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa, sejajar dengan sambutan positif daripada pengikut luar negara di media sosialnya.
“Dekorasi belon sekarang memang jadi keperluan dalam banyak acara. Modalnya rendah, tapi pulangannya tinggi. Sayang kalau kita tak ambil peluang,” katanya, mencadangkan penubuhan persatuan khusus serta kursus vokasional untuk memacu industri itu dengan menjadikan inisiatif seperti ekspo belon di Singapura sebagai rujukan serantau.
Melihat potensi besar industri itu, Syed Shahrizal menyimpan hasrat menjadi pengeluar produk belon dalam tempoh lima tahun akan datang. – Bernama

