Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas presiden Afrika Selatan terselamat dalam kemalangan

    JOHANNESBURG, 29 MAC – Bekas Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma, dilaporkan terselamat dalam satu kemalangan jalan raya selepas kenderaan yang membawanya bertembung dengan pemandu mabuk, menurut laporan polis hari ini.

    Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas pegawai pilihan raya menghalang Zuma daripada bertanding dalam pilihan raya umum 29 Mei, yang seterusnya mencetuskan ketegangan menjelang pilihan raya.

    “Kereta pemandu itu bertembung dengan kenderaan rasmi berperisai bekas presiden, Jacob Zuma,” kata Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS).

    Seorang lelaki berusia 51 tahun telah ditahan di wilayah KwaZulu Natal ‘atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk, serta tuduhan memandu secara cuai dan tidak bertanggungjawab,’ menurut SAPS.

    Bagaimanapun, Zuma dan pengawal peribadinya tidak mengalami sebarang kecederaan dan bekas presiden berusia 81 tahun itu dibawa ke kediamannya.

    Zuma, yang merupakan veteran daripada parti pemerintah Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), telah dipecat daripada jawatan pada 2018 di tengah-tengah tuduhan rasuah namun masih mempunyai pengaruh politik.

    Pada Disember, beliau mengumumkan akan berkempen untuk parti pembangkang uMkhonto we Sizwe (MK) dalam usaha untuk melancarkan semula kerjayanya satu tamparan besar kepada ANC.

    Pada Rabu, ANC telah melancarkan permohonan mahkamah baharu terhadap MK, selepas kalah dalam bidaan awal untuk membatalkan kelayakannya. – AFP

    Zuma ketika berucap kepada penyokong Parti MK yang baru ditubuhkan di Durban, Afrika Selatan, pada 27 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda