BOGOTA, 17 SEPT – Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dimasukkan ke hospital di bandar Brasilia kelmarin, selepas dilaporkan mengalami masalah kesihatan, lapor agensi Anadolu yang memetik kenyataan anaknya, Senator Flavio Bolsonaro.
Menurut Flavio, ayahnya mengalami ‘sedu yang kuat, muntah serta tekanan darah rendah.’
Beliau mengesahkan Bolsonaro telah dibawa ke hospital dari kediamannya di bandar negara tersebut dengan kawalan pengawal penjara.
“Saya mohon doa semua agar ia tidak serius,” katanya.
Perintah tahanan rumah yang dikeluarkan Hakim Mahkamah Agung Persekutuan, Alexandre de Moraes, membenarkan Bolsonaro mendapatkan rawatan kecemasan, namun perlu mengemukakan bukti perubatan dalam tempoh 24 jam.
Ini merupakan kali kedua bekas presiden itu dimasukkan ke hospital minggu ini, selepas menerima rawatan Ahad lalu untuk masalah lesi di kulitnya.
Laporan hospital menyebut prosedur pembedahan kecil dijalankan menggunakan bius bagi membuang lapan lesi pada bahagian dada dan lengan kanannya.
Ujian makmal baru-baru ini juga menunjukkan beliau mengalami anemia, manakala imbasan CT mendedahkan ‘tanda-tanda sisa radang paru-paru baru-baru ini’.
Mahkamah Agung pada Khamis lalu telah menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun tiga bulan terhadap beliau kerana didakwa terlibat dalam komplot rampasan kuasa. – Bernama


