Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas Presiden Brazil menghidap penyakit kanser kulit

    BOGOTA, 18 SEPT – Bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro telah disahkan menghidap kanser kulit kelmarin, sehari selepas beliau dimasukkan ke hospital buat kali kedua dalam tempoh seminggu, lapor agensi Anadolu.

    Pihak hospital turut memaklumkan, lesi di kulit yang ditemukan pada tubuh Bolsonaro menunjukkan kewujudan ‘karsinoma sel skuamus’ dan doktor berkata, beliau akan menjalani pemeriksaan berkala bagi memantau keadaannya.

    Bolsonaro, 70, dimasukkan ke sebuah hospital di Brasilia pada Selasa selepas mengalami muntah dan tekanan darah rendah. Bagaimanapun, diagnosis itu diperoleh daripada ujian yang dijalankan Ahad lalu ketika lawatan hospital terdahulu, ketika beliau menjalani prosedur membuang lesi di dada dan lengan.

    Pakar onkologi Bolsonaro, Claudio Birolini, menyifatkan kanser itu berada pada tahap ‘pertengahan’, iaitu di antara jenis paling ringan dan agresif. 

    Penyakit itu dikesan dalam keadaan ‘in situ’, bermaksud sel abnormal yang belum menunjukkan tanda merebak.

    Bolsonaro yang kini mempunyai balutan dan jahitan dijangka menanggalkannya dalam tempoh dua minggu.

    Beliau dibenarkan keluar hospital pada Rabu dan pulang ke rumah dan ketika ini beliau masih menjalani perintah tahanan di rumah. – Bernama

    Claudio Birolini semasa ditemu bual wartawan di hadapan Hospital DF Star di Brasilia pada 17 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda