Bekas presiden Chad meninggal dunia akibat COVID-19

DAKAR, 24 OGOS – Bekas presiden Chad, Hissene Habre, yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Senegal kerana melakukan jenayah terhadap kemanusiaan, meninggal dunia akibat COVID-19 hari ini di usia 79 tahun.

Konsulat Chad memberitahu AFP bahawa bekas diktator itu meninggal dunia akibat koronavirus di hospital utama Dakar, di mana dia dikejarkan dari klinik swasta setelah keadaannya bertambah buruk.

“Habre telah meninggal dunia,” kata Menteri Kehakiman Senegal, Malick Sall di saluran televisyen TFM, ketika mengumumkan kematian Habre.

Ketua tentera junta Chad yang berkuasa, Mahamat Idriss Deby Itno, juga mengucapkan takziah kepada keluarga Habre dan penduduk Chad.

“Dari Tuhan kita diciptakan dan kepada-Nya kita kembali,” tulis Deby dalam Twitternya.

Habre merampas kuasa pada tahun 1982, memerintah sehingga dia melarikan diri ke Senegal pada tahun 1990 setelah digulingkan oleh ayah Deby, Idriss Deby Itno, yang meninggal ketika memerangi pemberontak awal tahun ini.

Semasa dalam buangan di ibu kota Senegal, Dakar, Habre menjalani kehidupan yang sunyi di pinggir kota bersama isteri dan anak-anaknya. – AFP