NEW YORK, 20 FEB – Bekas presiden Honduras, Juan Orlando Hernandez akan dibicarakan di New York hari ini atas tuduhan menyeludup dadah, termasuk pemindahan 500 tan kokain melalui negaranya ke Amerika Syarikat (AS).
Hernandez yang berusia 55 tahun dibawa ke AS pada April 2022 untuk menjawab pertuduhan bahawa dia membantu penyeludupan ratusan tan kokain ke AS sebagai balasan jutaan dolar dalam bentuk rasuah daripada pengedar dadah.
Dia akan diadili secara individu di mahkamah persekutuan Daerah Selatan Manhattan selepas dua defendan bersamanya, bekas ketua polis Honduras, Juan Carlos ‘Tiger’ Bonilla dan bekas polis, Mauricio Hernandez, mengaku bersalah dalam beberapa hari kebelakangan ini kerana menyeludup dadah.
Rayuan mereka dan sebarang kerjasama dengan pihak berkuasa AS, kemungkinan akan menimbulkan tekanan kepada Hernandez untuk mencapai perjanjian dengan pendakwa raya dan juga membuat pengakuan.
Sebagai presiden, Hernandez bekerja rapat dengan pentadbiran bekas presiden Donald Trump, menerima pujian Washington atas usaha kerajaannya dalam rampasan dadah dan memerangi jenayah terancang.
“Dia menangkap orang yang tidak mempunyai hubungan dengannya, tetapi dia melindungi orang lain,” kata bekas ejen DEA, Mikel Vigil kepada AFP.
Hernandez telah diekstradisi ke AS pada April 2022, sejurus selepas menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Xiomara Castro yang berhaluan kiri.
Jika didapati bersalah atas tiga pertuduhan terhadapnya iaitu konspirasi menyeludup dadah dan dua pertuduhan mengedar dan memiliki senjata, Hernandez boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. – AFP


