Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Bekas Presiden Iran, Raisi selamat dikebumikan

    MASHHAD, 24 MEI – Bekas Presiden Iran, Ebrahim Raisi telah dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad, yang menempatkan makam suci imam kelapan penganut Syiah, Imam Reza.

    Agensi berita Republik Islam (IRNA) melaporkan bahawa jenazah Raisi tiba di Mashhad pada pagi tadi, dengan ribuan orang berkumpul untuk perarakan pengebumian yang menuju ke makam suci Imam Reza, tempat bekas presiden itu dikebumikan.

    Menurut Datuk Bandar Mashhad, Mohammad-Reza Ghalandar, dianggarkan tiga juta orang mengambil bahagian dalam upacara berkabung itu, termasuk penduduk dari bandar lain di Iran serta negara jiran seperti Iraq, Afghanistan, Pakistan dan Turkiye.

    Raisi, menteri luar negaranya, Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai telah terkorban pada Ahad apabila helikopter mereka terhempas di wilayah barat laut Iran, Azarbaijan Timur.

    Mereka dalam perjalanan ke ibu kota wilayah Tabriz dari sempadan Azerbaijan, selepas Raisi merasmikan empangan bersama dengan rakan sejawatnya dari Azerbaijan, Ilham Aliyev.

    Upacara pengebumian turut diadakan untuk mangsa nahas helikopter yang lain pada Selasa dan Rabu di bandar Tabriz dan Qom serta ibu kota Tehran.

    Puluhan pegawai tinggi dari negara lain turut menghadiri upacara peringatan di Tehran pada petang Rabu.

    Raisi, 63, adalah presiden kelapan Iran dan telah dipilih pada Ogos 2021. Sebelum itu, beliau mengetuai badan kehakiman Iran, merupakan ahli Expediency Council, naib pengerusi Majlis Pakar dan penjaga Astan Quds Razavi.

    Sementara itu, di bandar Rey di selatan Tehran pada Khamis, Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian telah dikebumikan di makam Abdul-Azim al-Hassani. – Bernama

    Gambar menunjukkan keranda mendiang presiden Iran Ebrahim Raisi semasa perarakan pengebumian di bandar timur Birjand pada 23 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...