Monday, December 23, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas Presiden Peru dipenjara 20 tahun kerana rasuah

    LIMA, 22 OKT – Mahkamah Peru kelmarin menjatuhkan hukuman penjara lebih 20 tahun ke atas bekas presiden, Alejandro Toledo kerana menerima rasuah berjumlah jutaan dolar daripada konglomerat pembinaan Brazil, Odebrecht yang dipalit skandal.

    Mahkamah Tinggi menerima hukuman penjara yang disyorkan oleh pihak pendakwaan, diumumkan dalam satu perbicaraan yang dihadiri lelaki berusia 78 tahun itu, memimpin negara Amerika Selatan itu dari 2001 hingga 2006.

    Toledo, seorang ahli ekonomi terlatih di Amerika Syarikat (AS) dengan ijazah kedoktoran dari Universiti Stanford, menegaskan dia tidak bersalah dan meminta kelonggaran, mengatakan bahawa dia menghidapi kanser dan masalah jantung.

    “Saya mahu pergi ke klinik swasta. Saya mohon kepada awda, biarkan saya sembuh atau meninggal dunia di rumah,” katanya dalam satu perbicaraan minggu lalu.

    Toledo kelihatan tenang di mahkamah ketika dia didapati bersalah atas tuduhan bersubahat dan pengubahan wang haram apabila menerima AS$35 juta daripada Odebrecht.

    Alejandro Toledo (tengah) meninggalkan bilik semasa perbicaraan mahkamah di Lima pada 21 Oktober. – AFP

    Dia mengambil nota tetapi tidak bercakap pada perbicaraan kelmarin, hanya tersenyum apabila bacaan keputusan itu menjelaskan bahawa dia telah disabitkan bersalah.

    Mahkamah mendapati dia telah menerima rasuah sebagai pertukaran tender untuk membina dua bahagian lebuh raya antarabangsa yang menghubungkan pantai Pasifik Peru dan pantai Atlantik Brazil.

    Peguam Toledo memberitahu pemberita bahawa dia akan merayu hukuman itu.

    Bekas presiden itu diekstradisi tahun lalu dari AS, di mana beliau telah tinggal selama beberapa tahun sebelum menyerah diri di bangunan mahkamah persekutuan di California.

    Odebrecht, yang sejak itu telah menukar namanya kepada Novonor, telah mengakui membayar ratusan juta dolar dalam bentuk rasuah di seluruh Amerika Latin untuk mendapatkan kontrak kerja awam yang besar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda