DHAKA, 17 APRIL – Polis Bangladesh berkata hari ini, bahawa seorang bekas ratu cantik yang ditahan bulan ini telah cuba memerangkap bekas duta Arab Saudi dalam usaha memeras ugut AS$5 juta daripada diplomat tersebut.
Meghna Alam, 30, pada awalnya ditahan tanpa dakwaan di bawah undang-undang kontroversi negara Asia Selatan itu yang membenarkan penahanan suspek tanpa had masa.
Jurucakap polis Muhammad Talebur Rahman memberitahu AFP bahawa Alam kini telah didakwa atas kesalahan pemerasan berkaitan skim ugutan tersebut.
Seorang lagi pegawai kanan polis memberitahu AFP dengan syarat tidak dinamakan bahawa Alam dan beberapa individu lain telah merancang untuk memaksa diplomat itu menyerahkan wang tersebut.
“Bangladesh mempunyai jumlah pekerja ekspatriat tertinggi di Arab Saudi. Kerajaan tidak mahu menjejaskan hubungan diplomatik,” tambah pegawai itu.

Arab Saudi merupakan penyumbang tetap bantuan kewangan dan kemanusiaan kepada Bangladesh, dan lebih dua juta pekerja Bangladesh merupakan kumpulan buruh asing terbesar di negara tersebut.
Alam hadir tanpa peguam dalam sesi pendengaran di mahkamah hari ini, dan menafikan tuduhan yang dikenakan terhadapnya, sambil merayu agar penahanannya dibatalkan.
Akhbar The Daily Star melaporkan bahawa Alam mendakwa beliau dihubungi oleh diplomat tersebut, yang memintanya memulakan satu hubungan.
Bapanya, Badrul Alam, turut berkata bahawa “duta itu dan Meghna mempunyai hubungan”.
“Anak saya menolak lamaran perkahwinannya kerana dia sudah mempunyai isteri dan anak-anak,” katanya kepada AFP selepas penahanan itu.
Kedutaan Arab Saudi di Dhaka tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap pertanyaan, hari ini. – AFP