Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas setiausaha agung FAS didakwa

    KUCHING, 2 OGOS – Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM191,298.70.

    Mengikut pertuduhan, Razali, 49, didakwa dengan curang melakukan transaksi berjumlah RM139,920; RM21,378.70 dan RM30,000 antara Januari hingga Februari 2017.

    Razali mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.

    Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu hingga 14 tahun, dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian membenarkan Razali diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin warga tempatan, selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu.

    Dayang Ellyn juga menetapkan 14 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj manakala Peguam Dominique Ng mewakili tertuduh. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda