TEHRAN, 31 MEI – Bekas Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani, mengemukakan pencalonannya untuk pilihan raya presiden yang ditetapkan bulan depan berikutan kematian Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter, lapor media kerajaan.
Pilihan raya itu pada asalnya dijadualkan pada 2025 tetapi dicepatkan berikutan kematian Raisi pada 19 Mei.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri mula menerima calon untuk undi awal yang dijadualkan pada 28 Jun dan calon Presiden mempunyai masa sehingga Isnin ini untuk mengemukakan permohonan.
Larijani, 66, yang pandangannya mengenai dasar luar dilihat sebagai agak sederhana di Iran, mengemukakan permohonannya hari ini, menurut rakaman yang disiarkan oleh televisyen negara.
Beliau berkata, satu keutamaan sekiranya dipilih ialah menyelesaikan isu sekatan Amerika Syarikat dan meningkatkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, pencalonannya, seperti semua calon Presiden di Iran, mesti diluluskan oleh Majlis Penjaga, sebuah badan 12 ahli perundangan yang mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan calon.
Larijani adalah antara beberapa calon reformis dan sederhana yang dibatalkan oleh majlis menjelang pilihan raya 2021 yang membawa Raisi berkuasa.
Pilihan raya itu mempunyai rekod peratusan keluar mengundi yang rendah untuk pemilihan Presiden, iaitu hanya 48.8 peratus.
Larijani telah berkhidmat dalam Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dan terus memegang beberapa jawatan penting di negara itu selama tiga dekad.
Beliau menyelia rundingan nuklear Iran dengan Barat pada awal 2000an tetapi meletak jawatan selepas dua tahun, memetik ‘perbezaan serius’ dengan bekas Presiden populis, Mahmoud Ahmadinejad.
Larijani yang menjadi Speaker Parlimen penggal ketiga yang menyokong perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dan kuasa dunia, mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang falsafah dan berasal daripada keluarga berpengaruh yang mempunyai hubungan dengan kepimpinan republik Islam itu. – AFP