Malang tidak berbau. Barangkali itu ungkapan paling tepat untuk menggambarkan tentang kematian bekas suami kepada aktres terkenal Bollywood, Karisma Kapoor iaitu Sunjay Kapur yang meninggal dunia selepas tertelan seekor lebah ketika sedang bermain sukan polo di London.
Menurut laporan India Today, sengatan lebah di bahagian tekak mendiang menyebabkan berlakunya serangan jantung sekali gus meragut nyawanya.
Bantuan kecemasan diberikan segera sewaktu kejadian namun tidak mampu untuk menyelamatkan nyawanya.
Sewaktu kejadian berlaku, Sunjay, 53, yang juga pemilik pasukan polo Aureus sedang beraksi menentang pasukan lawan, Sujan milik taikun hotel, Jaisal Singh.
Sunjay juga sempat memuat naik hantaran dalam media sosial mengucapkan takziah ke atas mangsa nahas pesawat Air India yang menggemparkan dunia semalam.
Setakat ini belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Karisma mengenai kematian bekas suaminya.
Sunjay merupakan seorang ahli perniagaan berjaya di India dan pernah berkahwin dengan Karisma pada tahun 2003. – Agensi
