JAKARTA, 24 JAN – Pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia hari ini meminta hukuman penjara empat tahun dan dua bulan ke atas bekas timbalan speaker dewan perwakilan negara itu, Azis Syamsuddin atas penglibatannya dalam kes rasuah.
Di Mahkamah Rasuah Pusat Jakarta, pendakwa raya juga menuntut Syamsuddin membayar denda berjumlah 250 juta rupiah (kira-kira AS$17,400) dan hak politiknya untuk bertanding dibatalkan selama lima tahun selepas menjalani hukumannya.
Sebagai seorang ahli politik kanan Parti Golkar, Syamsuddin disyaki membayar 3.1 juta rupiah (AS$216,180) dan AS$36,000 dalam sogokan kepada bekas penyiasat KPK, Stephanus Robin Pattuju dan peguamnya, Maskur Hussain dalam 2020.
Dia didakwa melakukannya dalam usaha mencegah namanya dan seorang lagi kader parti Golkar daripada tersenarai dalam siasatan KPK mengenai kes rasuah di daerah Lampung Tengah, wilayah Lampung.
Syamsuddin, yang diberkas di kediamannya di Jakarta Selatan oleh penyiasat antirasuah pada September tahun lalu, meletak jawatan dari jawatannya sejurus selepas penangkapannya. – Xinhua