Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas unik asal kayu terbiar

    Oleh Amri HTZ

    Kawasan rumah yang dikelilingi dengan hutan setentunya membawa keuntungan besar buat seseorang pemilik rumah.

    Di samping memiliki udara yang segar, keadaan yang lembap turut menjadikan udara lebih sejuk sekali gus menjadikan lebih nyaman untuk tinggal di kawasan tersebut. Selain keadaan berkenaan, pokok-pokok hijau juga dapat menyedapkan pemandangan dan terdapat pelbagai manfaat yang boleh diperoleh melaluinya.

    Salah satunya ialah kayu daripada pokok-pokok tumbang yang boleh dijadikan kayu bakar, gubahan taman mahupun sesebuah rekaan untuk dalam rumah.

    Barangan yang diperlukan

    Projek kali ini akan memanfaatkan kayu daripada pokok tumbang untuk dijadikan tempat menyimpan bahan masakan di dapur seperti gula, garam mahupun bumbu. Untuk merekanya, awda memerlukan mesin lathe, mesin gergaji rantai, mesin bandsaw, kertas pasir, pin brass 1/8 inci, mata gerudi 1/8 inci, mesin gerudi, pita perekat, vernier caliper, pita pengukur, pensel penanda, alat kompas, dan pen penanda Sharpie berwarna merah.

    Langkah penting pembuatan

    Sebagai langkah pertama pembuatan, cari dan pilih kayu daripada pokok yang telah lama tumbang dan mengering. Menggunakan kayu yang baharu tumbang tidak digalakkan memandangkan ia memerlukan masa mengering dan jika dilakukan juga, ketika rekaan siap, bentuk dan ukurannya akan berubah menjadi mengecil, lebih buruk melengkung.

    Pin yang telah ditetapkan berfungsi sebagai engsel bagi menutup dan membuka bekas.
    Antara teknik digunakan untuk memotong kayu menggunakan mesin bandsaw.
    Alat roughing gouge digunakan semasa melaksanakan proses meratakan bahagian luaran material.
    Permukaan luar yang sedikit melengkung dilakukan bagi memberikan kelainan dalam rekaan.
    Langkah mereka ruangan dalaman bekas dengan bentuk separa bulatan.

    Apabila telah mengenal pasti kayu yang hendak dipotong, dengan ukuran sekurang-kurangnya 30 sentimeter diameter, potong kayu tersebut menggunakan gergaji rantai dengan panjang lebih kurang 20 sentimeter. Setelah memotongkannya, belah dua kayu tersebut menggunakan langkah yang sama.

    Bagi awda yang memiliki mesin bandsaw, membelahnya menggunakan alat tersebut amat disarankan memandangkan ia akan menghasilkan permukaan potongan yang lebih rata dan halus. Namun mesin sedemikian bukanlah suatu kewajipan di mana tanpanya rekaan projek in juga masih boleh dilaksanakan.

    Setelah membelahnya, tandakan bahagian tengah kayu tersebut. Tujuannya adalah bagi mendapatkan titik tumpuan untuk bahagian hujung kompas dan alat mesin lathe ditempatkan. Setelah itu lakar bentuk bulatan menggunakan kompas dan potong kayu tersebut menggunakan mesin bandsaw.

    Bagi awda yang tidak memiliki mesin sedemikian, potong sedikit demi sedikit bahagian sisi kayu menggunakan mesin pemotong kayu atau gergaji secara manual.

    Lebihannya pula akan dibuang dengan menggunakan pahat kayu atau mesin kertas pasir. Gunakan grit yang kasar untuk mempercepatkan proses diikuti dengan yang halus ketika menghalusi permukaan.

    Untuk penggunaan mesin bandsaw, salah satu bahagian hujung kayu akan dicantumkan dengan sekeping kayu berbentuk bulat berfungsi sebagai kawasan pegangan untuk lathe chuck. Penggunaan super glue yang berkualiti disarankan untuk mencantumkannya memandangkan nanti ia akan dilepaskan semula.

    Kemudian tetapkan bahagian hujung kayu yang satu lagi pada alat tailstock spindle mesin lathe.

    Putar perlahan mesin bagi memastikannya kekal pada kedudukan sebelum menyesuaikan kelajuan putarannya bagi proses membuangkan permukaan luar kayu.

    Mula-mula gunakan alat roughing gouge untuk meratakan keseluruhan struktur kayu menjadi benar-benar bulat. Ini diikuti dengan menandakan garisan untuk membelah kayu tersebut yang akan dijadikan sebagai penutup. Ketika menggunakan alat-alat wood turning, pastikan tool rest benar-benar dekat dengan bahan yang dikerjakan. Ini akan mengurangkan risiko alat berkenaan terjongket sekali gus menghilangkan kawalan dan mendatangkan bahaya.

    Bahagian penutup yang telah ditandakan kemudiannya akan dipotong menggunakan mesin bandsaw.

    Ini diikuti dengan mereka ruangan dalam untuk tempat penyimpanan bahan.

    Tetapkan semula material pada lathe chuck dan ubah kedudukan tool rest menghampiri bahagian tengahnya. Pada langkah ini tailstock spindle tidak diperlukan memandangkan lathe chuck sudah memadai untuk memegang material berkenaan.

    Alat roughing gouge kekal digunakan untuk mereka ruangan tersebut. Bentuk ruangan dalaman tersebut akan direka dengan separa bulatan bagi memberikan kelainan rekaan dan kemudahan untuk mengeluarkan bahan tersimpan di dalamnya.

    Bagi awda yang tidak memiliki mesin lathe, setelah membulatkan bahagian luarannya menggunakan mesin kertas pasir dan memotong bahagian penutup, ruangan dalaman untuk tempat penyimpanan boleh direka dengan cara menebuknya menggunakan mata gerudi bersesuaian.

    Namun langkah ini tidak dapat menghasilkan ruangan berbentuk separa bulatan secara terus, ia memerlukan awda untuk menggunakan alat pemahat untuk menyelesaikannya.

    Dalam menjadikan rekaan lebih kreatif, bahagian luaran bekas yang telah direka tersebut akan dibentuk dengan permukaan melekuk. Ia kemudiannya akan digosok dengan kertas pasir berukuran 100 grit (jenis kain) ketika bahan masih lagi termuat pada mesin lathe.

    Ini diikuti dengan mewarnakan permukaan luarannya menggunakan pen Sharpie bagi meniru finishing seperti resin asli.

    Langkah terakhir ialah menebuk lubang untuk memasukkan pin brass berukuran 1/8 inci. Pin berkenaan berfungsi sebagai engsel untuk bekas tersebut sekali gus menambah keunikan rekaan dan cukup mudah untuk dilakukan.

    Tetapkan sementara bahagian penutup dan bekas tersebut dengan pita perekat bagi memastikan proses penebukan benar-benar selaras. Setelah itu tukul perlahan pin brass tersebut menggunakan pelapik kulit asli atau kayu agar tidak menjejaskan permukaan pin.

    Dengan langkah tersebut, rekaan kini boleh ditempatkan pada ruangan dapur yang begitu bermanfaat untuk menyimpan bahan memasak selain menghiasi ruangan tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda