SINGAPURA, 22 APRIL – Bekas Wanita Pertama Singapura, Noor Aishah Mohammad Salim, 91 tahun, balu kepada presiden pertama Singapura Yusof Ishak, meninggal dunia hari ini.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Noor Aishah meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada 4:28 pagi.
“Perdana Menteri dan anggota Kabinet amat berdukacita dengan pemergian Noor Aishah Mohammad Salim, isteri Presiden pertama Singapura Yusof Ishak. Mereka mengucapkan takziah kepada keluarganya dalam masa yang sukar ini,” katanya.
PMO turut memaklumkan bahawa kerajaan akan membantu menguruskan pengebumian sebagai penghargaan atas sumbangannya kepada negara.
Allahyarham akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Negeri Kranji, bersebelahan pusara suaminya.
Sebagai tanda penghormatan, jenazah akan diberi penghormatan diusung menggunakan Pedati Meriam Upacara dari Masjid Ba’alwie ke Tanah Perkuburan Negara Kranji.
Noor Aishah merupakan tonggak sokongan kepada Allahyarham Presiden sepanjang tempoh perkhidmatannya dari 1959 hingga 1970 – satu tempoh penting dalam sejarah Singapura yang menyaksikan cabaran membina negara. – Bernama
