KUALA LUMPUR – Dalam era ketika hampir semua orang membaca tajuk berita di media sosial, bekas wartawan dan penyunting, Dr G. Manimaran masih membelek muka surat bercetak, bukan satu tetapi 10 akhbar setiap hari.
Sejak 30 tahun lalu, perunding media dan penganalisis politik berusia 58 tahun ini menghabiskan kira-kira RM7,000 setahun untuk membeli akhbar, satu tabiat yang mungkin dianggap berlebihan di era digital ini. Akan tetapi bagi beliau, jumlah itu setimpal dengan ilmu yang diperoleh.
“Saya tidak anggap itu pembaziran wang. Ada yang kata kita boleh baca berita dalam talian secara percuma, tetapi tidak semua berita tersedia di portal berita.
“Banyak pandangan, terutamanya laporan terperinci atau arkib, sebaiknya dibaca dalam bentuk bercetak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Membesar di Paloh, sebuah pekan kecil di Kluang, Johor, kecintaan Manimaran terhadap ilmu bermula awal. Ketika bersekolah rendah, beliau akan menyimpan duit sakunya untuk membeli akhbar yang ketika itu berharga 50 sen, satu jumlah yang besar buat seorang kanak-kanak.
“Semasa saya bekerja sebagai wartawan dan editor, saya akan baca sekurang-kurangnya enam surat khabar setiap hari bagi mengikuti perkembangan semasa dan juga kerana sifat persaingan dalam dunia kewartawanan,” katanya.
Pada masa ini beliau melanggan 10 akhbar harian berbahasa Melayu, Inggeris dan Tamil dengan kos kira-kira RM600 sebulan dan akan menambah akhbar berbahasa Cina iaitu bagi tujuan pengarkiban kerana beliau tidak tahu membaca bahasa Mandarin, semasa peristiwa besar negara seperti pilihan raya umum atau pengumuman belanjawan.
Bagi beliau, akhbar bukan sekadar bahan bacaan, tetapi sebagai sebahagian identiti dan alat kerjayanya. Di rumahnya ada perpustakaan peribadi dipenuhi keratan akhbar, laporan pilihan raya dan buku. Malah, beliau akan baca setiap akhbar yang tidak sempat dibacanya sebaik sahaja pulang dari bercuti. – Bernama


