Oleh Daniel Lim
BELAIT, 4 OGOS – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah hari ini berkenan mengambil bahagian dalam Kategori 21.18 Kilometer (km) Terbuka Wanita Larian Borneo Separuh Maraton edisi kelima.
Lebih 350 pelari daripada beberapa buah negara telah berkumpul untuk bersaing dalam siri larian tahunan itu yang dianjurkan oleh AKIF Media Marketing and Event bertujuan untuk mengumpulkan pelari terbaik dari seluruh dunia di samping menguji kemahiran larian mereka dalam mengharungi laluan sepanjang 21.18km di seluruh Daerah Belait.
Larian bermula di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) dan dibahagikan mengikut kategori masing-masing, iaitu kategori 21.18km terbuka lelaki dan wanita, 10km Lelaki dan Wanita, dan 3km fun run.
Kebanyakan perserta terdiri daripada Brunei, Kenya, Malaysia, Australia, dan United Kingdom.
Semasa pertandingan itu, Yang Teramat Mulia turut berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada tiga pemenang teratas.
Bagi kategori 21.18km Terbuka Lelaki, Dennis Isika, dari Kenya menduduki tempat pertama dengan catatan masa yang mengagumkan iaitu satu jam 15 minit; diikuti Ruzaini Mahadi dan Muhammad Amirul Hamdi Jamil masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Bercakap kepada media, Dennis Isika menyatakan bahawa dia kagum dengan persekitaran pemandangan dan komuniti yang kondusif untuk pertumbuhan bakat, terutama dalam larian.
“Ini kali pertama saya datang ke Brunei, dan saya suka di sini kerana ia mempunyai orang yang hebat dan masyarakat yang menyokong usaha masing-masing, dan saya seronok berada di sini dalam Larian Borneo,” ujarnya lagi.
Setelah membuat persiapan yang menyeluruh untuk acara larian tersebut sebagai atlet profesional, dari segi fizikal dan mental, beliau berbangga dengan pencapaiannya dan berharap acara seumpama ini akan diadakan pada masa akan datang.
“Bagi kami (pelari dan atlet), adalah penting untuk berazam dan konsisten, dan maraton seperti ini menguji kami, yang membolehkan kami berkembang. Saya juga berharap lebih banyak sokongan akan diberikan kepada atlet tempatan daripada kerajaan dan agensi lainnya untuk memastikan bimbingan diberikan bagi membangunkan bakat dan kemahiran tempatan,” tambahnya.
Manakala bagi kategori 21.18km Terbuka Wanita, Siaw Khim Tho, menduduki tempat pertama dengan catatan masa satu jam 40 minit, diikuti Erin Ilam dan Qimm Chin masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Larian 10km Wanita dikuasai oleh Linda Chin Hui Ching, Noorhanisah binti Haji Abdul Ghani dan Aida Syazwana di tempat pertama hingga ketiga; manakala larian 10km Lelaki menyaksikan Amirul Tuah, Ross Garforth dan Mohd Abdul Akeem Adilah masing-masing di tempat pertama hingga ketiga.