Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekerja dari ryokan, tingkat produktiviti pekerja

    URESHINO, SAGA – Memandangkan bekerja dari lokasi terpencil di pusat peranginan pelancongan dan destinasi percutian lain semakin menarik perhatian, usaha untuk menjadikan rumah air panas sebagai pejabat semakin meluas.

    Wataya Besso, sebuah rumah penginapan ryokan yang telah lama bertapak di Ureshino, Wilayah Saga, merupakan salah satu rumah penginapan pertama di Jepun yang mengguna pakai sistem kerja di ryokan, dan usaha mereka telah dipuji sebagai ‘model Ureshino’.

    The Japan News melaporkan, rumah penginapan itu menjadi tumpuan sejak April 2020 apabila negara itu dilanda pandemik koronavirus, dengan 11 buah syarikat dari kawasan metropolitan Tokyo dan tempat lain menggunakan rumah penginapan itu dan kira-kira 1,000 orang melawat ryokan bagi lawatan sambil belajar setiap tahun.

    Diiringi bunyi anak sungai dan korus kicauan burung, Ayano Nire, 36, sedang bekerja di hadapan monitor di dalam bilik yang pernah menjadi bilik tetamu di Wataya Besso pada pertengahan Januari lalu.

    Nire merupakan pekerja Innovation Partners Inc, sebuah syarikat promosi yang berpangkalan di Tokyo untuk projek pemulihan resort pelancong. Wataya Besso di pusat peranginan mata air panas Ureshino Onsen berkhidmat sebagai ibu pejabat Asia syarikat itu.

    Ayano Nire (kanan) bekerja sambil merendam kaki di Wataya Besso di Ureshino, Wilayah Saga. – The Japan News
    Beberapa orang pekerja sedang bekerja di pejabat yang diubah suai daripada bilik tetamu. – The Japan News
    Skrin kertas Shoji dan skrol tergantung di ceruk tokonoma mengekalkan suasana bilik tetamu ryokan mata air panas. – The Japan News

    “Bau kayu membuatkan saya berasa lega. Saya juga melakukan lebih banyak kerja di sini,” kata Nire.

    Sekitar lapan daripada kira-kira 20 orang pekerja syarikat itu bekerja di ryokan. Mereka boleh mandi di kolam air panas bila-bila masa mereka mahu, dan terdapat kafeteria untuk pekerja ryokan yang juga boleh digunakan.

    Nire telah diupah di Tokyo dengan syarat berpindah ke kawasan itu selepas bekerja dan telah bekerja di Ureshino sejak Januari. Dia masuk ke kolam air panas setiap kali dia terperangkap dalam fikirannya dan sering menghasilkan idea semasa bercakap dengan pekerja-pekerja syarikat lain di ruang bersama, katanya.

    “Terdapat sesuatu tentang ryokan yang menjadikan orang lebih mesra,” kata Nire.

    MODEL PERNIAGAAN BAHARU

    Air panas Ureshino dikatakan membantu menghasilkan kulit yang cantik dan Wataya Besso, yang ditubuhkan pada 1950, mempunyai keluasan kira-kira 66,000 meter persegi.

    Apabila Yoshimoto Kohara, 47, menjadi presiden ryokan itu pada 2013, dia merasakan rumah penginapannya tidak memanfaatkan sepenuhnya aset tempatan yang kaya termasuk mata air panas, teh dan tembikar, yang merupakan antara yang terbaik di Jepun.

    Selepas Innovation Partners mencadangkan menyewa beberapa ruangnya sebagai pejabat, Kohara mula mencari jalan untuk meninggalkan model perniagaan ryokan yang konvensional.

    Wataya Besso, yang pernah menerima lebih daripada 100,000 pelawat semalaman setahun, mengalami masalah kewangan selepas penularan wabak koronavirus pada 2020 dan berada dalam kemerosotan sehingga hanya mempunyai dua tetamu sehari. Terdapat banyak hari apabila 130 bilik tetamu dan 25 bilik jamuan tidak digunakan.

    “Saya menyedari betapa rapuhnya industri ryokan,” kata Kohara.

    Pengalaman itu mendorong Kohara mencuba idea penyewaan. Pada April 2020, dia mula menyewakan beberapa bilik tetamu yang telah diubah suai. Sewa bulanannya berbeza-beza bergantung pada saiz bilik, dengan harga bilik sebanyak ¥800,000.

    Terdapat juga bilik ¥200,000 sebulan untuk permulaan.

    Sebahagiannya terima kasih kepada program subsidi kerajaan perbandaran, sebuah syarikat pengeluaran web yang berpangkalan di Tokyo dan 10 firma lain menubuhkan pejabat mereka di Wataya Besso. Ini membawa kepada penciptaan kira-kira 50 pekerjaan di dalam negara.

    Usaha Wataya Besso mendapat perhatian sebagai cara baharu untuk menarik perusahaan ke kawasan tempatan dan cara kerja baharu.

    Ia telah menerima lebih 3,000 pengunjung sejak tiga tahun lalu daripada kerajaan pusat dan tempatan serta syarikat-syarikat.

    MODEL BERKEMBANG KE RESORT LAIN

    Kerajaan pusat menyeru syarikat-syarikat membenarkan lebih ramai pekerja mreka bekerja dari jauh di tempat pelancongan atau destinasi percutian memandangkan persekitaran kerja sebegitu dijangka membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan motivasi dan meningkatkan produktiviti.

    Model Ureshino bermanfaat kepada hotel-hotel dan tempat penginapan kerana ia boleh men-jana pendapatan yang stabil.

    Atas sebab itu, model Ureshino tersebar ke pelbagai lokasi, termasuk rumah penginapan ryokan yang telah lama wujud di pusat peranginan mata air panas Gamagori, Prefektur Aichi dan hotel resort ski di Myoko, Prefektur Niigata.

    “Lebih selesa bekerja di ryokan ini berbanding bangunan pejabat lain di kawasan metropolitan Tokyo. Kami juga mempunyai kolam air panas,” kata Kohara.

    “Kami berhasrat untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih bernilai tinggi.” – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda