Oleh Yusrin Junaidi dan Normazlina MD
BAGI sama-sama mencegah kegiatan jenayah apatah lagi dalam bulan Ramadan ini, Ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Pancha Delima telah bergiat aktif bersama anggota Balai Polis Berakas dalam mengadakan rondaan pencegahan jenayah yang diadakan baru-baru ini.
Rondaan dilakukan secara berjalan kaki di kawasan letak kereta di setiap masjid di bawah jagaan Balai Polis Berakas. Hadir mengetuai rondaan Sarjan Mejar 3501 bersama dua anggota Balai Polis Berakas dan dua orang ahli PK dari Kampung Pancha Delima.
Rondaan pencegahan jenayah ini diadakan bertujuan bagi mencegah sebarang perbuatan jenayah atau mana-mana aktiviti yang menyalahi undang-undang pada bulan Ramadan ini terutama di kawasan letak kereta masjid ketika orang ramai sedang beribadah.

Lokasi yang berasingan
Manakala Balai Polis Lamunin juga turut mengadakan rondaan serupa bersama ahli PK Kampung Lamunin. Turut menyertai ialah Ketua Kampung Lamunin, Mejar (B) Awang Said bin Haji Tinggal bersama empat orang ahli PK Kampung Lamunin yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Lamunin, Sarjan Mejar 2480 Awang Mohd Azrib bin Abdullah.
Bagi memastikan pengawasan kejiranan terus berfungsi dengan berkesan, masyarakat awam adalah disarankan supaya bekerjasama dengan pihak polis dalam sama-sama menjaga keselamatan di kampung masing-masing agar bebas dari sebarang kegiatan jenayah.