Bekerjasama tangani pembelajaran ketika COVID-19

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

Setelah beberapa minggu negara ini mengadaptasikan tatacara pembelajaran secara dalam talian atau ‘online learning’ dari rumah, sememangnya banyak yang merasakan kesukaran berbanding kesenangan dan lebih merasa mudah menghantar anak-anak ke sekolah dan diajar oleh para guru.

Hal ini kerana ia merupakan satu pendekatan yang baharu dan bahkan mendadak untuk dipraktikkan bersama. Sebagai renungan kepada sesama kita yang merasakan kesukaran menangani dan mempedulikan anak-anak mengikuti cara pembelajaran tersebut, ketika ini bukanlah masa untuk kita saling salah menyalahkan di antara pihak guru dan ibu bapa serta pihak kerajaan.

Menurut pengamatan Media Permata bersama beberapa orang ibu bapa, dalam menangani masalah dan kesulitan yang dialami itu adalah lebih baik bersama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Janganlah kita berkira, malah seharusnya kita perlu merasa bersyukur kerana kita menerima pendidikan secara percuma di negara ini dan banyak perkara sudah diambil peduli oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Antara pembelajaran dalam talian yang disediakan oleh seorang guru di salah sebuah sekolah di negara ini.
Seorang guru melakukan tugasan bagi subjek Social Studies secara dalam talian.

Pada ketika ini semua orang dalam keadaan yang sama rata, di mana mengalami kesusahan dan memerlukan perbelanjaan, meluangkan lebih masa dan sebagainya agar anak-anak tetap terus mengikuti pembelajaran mereka supaya tidak ketinggalan ketika masalah global yang sedang melanda.

Cuba renungkan jika pihak kerajaan hanya berdiam diri, atau tidak mengambil apa-apa tindakan, setentunya anak-anak akan mengalami kerugian kerana tiada sebarang pembelajaran yang mereka perlu pelajari. Dengan adanya sistem pembelajaran dalam talian atau ditugaskan ibu bapa mengambil dan menghantar kertas kerja (hard copy) anak-anak ke sekolah merupakan salah satu insiatif kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang paling terbaik.

Kita selaku rakyat dan penduduk di negara bertuah lagi berkah ini, sewajarnya menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas perkenan Baginda bagi beberapa pendekatan terkini termasuk pembelajaran dalam talian.

Mungkin kerana emosi dan tekanan, serta komitmen malah kekurangan teknologi serta peralatan, segelintir masyarakat merasakan impak dan masalah timbul terlalu mendadak sedang kita belum bersedia atau tidak mahu mengambil risiko.

Renungkanlah pelbagai usaha pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah dilakukan terhadap rakyat dan penduduk di negara ini demi keselamatan dan keselesaan ketika penularan wabak COVID-19 di negara ini. Janganlah kita saling menyalahkan melainkan sama-sama berusaha dan berganding bahu untuk membebaskan negara daripada wabak yang dahsyat ini.

Begitu juga dengan pihak Kementerian Pendidikan atas perkenan Baginda Sultan untuk mengambil langkah drastik menutup sekolah-sekolah serta institusi-institusi di seluruh negara dan memulakan pembelajaran melalui dalam talian dan media massa lainnya agar usaha akademik masih mampu diteruskan selari dengan usaha lainnya demi kelangsungan hidup seharian dan ke arah kemajuan dan bukannya kemunduran.

Pihak kerajaan pun bukannya semudah-mudahnya untuk membuat sebarang keputusan dan rumusan, segalanya dihasilkan melalui mesyuarat dan garis pandu serta penyelesaian untuk pendekatan terbaik dan termudah bagi semua pihak. Setiap kejayaan yang ingin dicapai memerlukan pengorbanan dari semua pihak.

Walau bagaimana pun pembelajaran secara dalam talian ini diambil secara logiknya han yalah bersifat sementara di samping kita semua diuji oleh Allah tentang tahap kesabaran, penerimaan, daya pemikiran, penggunaan ilmu yang dipinjamkan sekali gus mendorong kita membina ikatan persaudaraan kukuh dan bekerjasama dalam ‘satu pasukan penuh ukhuwah dan mahabbah’.