Bekerjasamalah elak kemungkinan lockdown

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Kerana nila setitik rosak susu sebelanga, begitulah perumpamaan yang membuatkan Kementerian kesihatan terpaksa mengambil langkah mengarahkan semua orang yang tiba di negara ini menjalani pengasingan diri di tempat yang disediakan oleh kerajaan dan tidak lagi di rumah masing-masing bermula hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata terdapat beberapa laporan diterima oleh Kementerian Kesihatan mengenai kejadian berkenaan tetapi tidak ada bukti bagi pihak kementerian untuk mengambil tindakan, ketika menjawab persoalan mengenai kejadian mereka yang melanggar perintah pengasingan diri pada Sidang Media Statistik Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Oleh itu, kerjasama orang ramai amat diperlukan di mana jika mereka ternampak sesiapa yang sepatutnya menjalankan pengasingan diri tetapi didapati keluar, dan boleh merakamkan gambar mereka sebagai bukti serta menghubungi pihak polis untuk diambil tindakan.

Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa untuk memastikan keberkesanan langkah pengasingan diri, pihaknya harus mengambil langkah bagi mereka yang diarahkan untuk mengasingkan diri melaksanakannya di fasiliti-fasiliti yang disediakan oleh kerajaan.

Yang Berhormat Dato turut menegaskan kepada orang ramai untuk tidak complacent mengenai wabak COVID-19 walaupun penularan masih terkawal tetapi perlu diingat bahawa negara masih lagi dalam krisis dan orang ramai disarankan untuk tidak leka serta terus mengamalkan langkah-langkah pengawalan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Kakitangan Jabatan Bandaran ketika mengecat petak penjarakkan sosial di Pasar Gadong, kelmarin. Kementerian Kesihatan melalui pelbagai agensi kerajaan menggiatkan usaha untuk menghindari jangkitan komuniti, antaranya penjarakkan sosial dan banyak lagi. – Gambar oleh Muiz Matdani

Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa penularan wabak COVID-19 adalah amat membimbangkan dan oleh itu, pihaknya terus mengingatkan orang ramai supaya terus melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti penjarakkan sosial dan fizikal serta menjaga kebersihan diri.

Beliau memberi contoh dengan melihat keadaan negara-negara maju yang mana sebelum ini, mereka telah berjaya mengawal penularan COVID-19 tetapi sekarang mereka perlu untuk melaksanakan lockdown.

“Langkah lockdown ini tidak sepatutnya terjadi tetapi disebabkan orang ramai leka dan melihat wabak sebagai terkawal, mereka keluar atau tidak mengamalkan penjarakkan sosial, sehingga lockdown terpaksa dilaksanakan,” tekannya.

Beliau seterusnya menerangkan bahawa kes pertama COVID-19 disahkan pada 9 Mac dan negara hanya menutup sempadan kira-kira dua minggu kemudian di mana dalam tempoh berkenaan, terdapat perjalanan keluar dan masuk melalui sempadan.

Pada masa yang sama, data menunjukkan bahawa kira-kira 50 peratus pesakit jangkitan COVID-19 tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala dan ini, tegas Yang Berhormat Dato, amat dikhuatiri.

Kerana itu, jelasnya, kita masih belum dapat membenarkan penyajian makanan dalam restoran, membuka kompleks sukan kerana terdapat ‘gap’ atau jurang di mana terdapat pergerakan melalui sempadan dan dalam masa yang sama, kita juga tidak mengetahui keadaan penularan wabak COVID-19 di negara-negara jiran yang meskipun kelihatan sedikit tetapi mungkin berlaku jangkitan komuniti.

Oleh itu, semua orang harus mengambil langkah berjaga-jaga, ingat-mengingati dan berawas supaya semua yang telah dilaksanakan serta pengorbanan oleh semua pihak adalah tidak sia-sia.

Mengulas mengenai persoalan berhubung kes 135 yang disahkan positif COVID-19 pada 4 April lalu, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa dalam perkara ini, kejujuran adalah amat penting dan jangan ada sikap mementingkan diri untuk memastikan ujian dapat dilaksanakan dan tidak akan berlaku jangkitan kepada orang lain.