Thursday, February 13, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belajar abjad dan penulisan Hangeul Korea

    SEOUL – Raja Sejong yang Agung telah mencipta Hangeul pada tahun 1443 dengan matlamat meningkatkan literasi dalam kalangan rakyat biasa yang tidak mempunyai peluang untuk mempelajari hanja logografik atau huruf Cina.

    Bagi menghormati hasrat raja dan kasih sayangnya terhadap kemanusiaan, beberapa projek telah dilancarkan sejak akhir tahun 1990an untuk berkongsi abjad Korea dengan kaum minoriti di Asia, Afrika dan Amerika Selatan yang tidak mempunyai sistem penulisan mereka sendiri. Tanpa abjad, bahasa mereka berdepan risiko lenyap, bersama-sama budaya lisan mereka.

    Namun pada hari ini, kebanyakan projek tersebut tidak lagi wujud. Situasi ini membuktikan bahawa usaha ahli linguistik dan penaung sahaja tidak memadai untuk mendapatkan satu populasi – tidak kira saiznya – untuk menerima sistem penulisan yang benar-benar asing, beritahu orang yang terlibat dengan projek-projek sedemikian kepada The Korea Herald.

    Bahasa lenyap dan potensi Hangeul

    Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu, manusia sedang hidup dalam era kepupusan bahasa besar-besaran, dengan satu bahasa asli pupus setiap dua minggu. Pada tahun 2100, hampir separuh daripada kira-kira 7,000 bahasa yang digunakan hari ini mungkin lenyap, katanya.

    Dalam konteks ini, beberapa ahli linguistik Korea mengiktiraf potensi Hangeul sebagai alat untuk memelihara bahasa-bahasa yang terancam.

    Gambar serahan Insurans Nyawa Kyobo menunjukkan pelajar suku Cia-Cia di Pulau Buton Indonesia mempelajari cara-cara menulis Hangeul, huruf Korea. – ANN/Korea Herald
    Para pelajar mempelajari tulisan Hangeul di salah sebuah sekolah. – Agensi

    Inisiatif pertama seumpama itu bermula pada tahun 1994 oleh Lee Hyun-bok, seorang profesor emeritus linguistik di Universiti Kebangsaan Seoul, di kawasan berbukit-bukau Thailand.

    Selama hampir satu dekad, profesor itu mengajar Hangeul kepada suku Lahu di sana, dan selepas lima tahun penyelidikan, mencipta satu sistem penulisan berdasarkan Hangeul yang boleh menggambarkan bunyi sengau dalam bahasa mereka.

    Pada tahun 2000an, Jeon Kwang-jin, seorang profesor bahasa Cina di Universiti Sungkyunkwan, mengkaji bahasa-bahasa minoriti etnik di China, dan mengemukakan sistem penulisan berdasarkan Hangeul untuk Lhoba pada tahun 2002, Oroqen pada 2004, dan Ewenki pada 2008.

    Pada 2015, sekumpulan ahli linguistik Korea telah menyiapkan tulisan berdasarkan Hangeul untuk bahasa yang digunakan oleh orang Aymara, populasi dengan kira-kira 2.8 juta orang yang tinggal di barat Bolivia, selatan Peru dan utara Chile. Ia dibuat setelah tiga pusingan kajian dan analisis fonem, leksikon dan struktur tatabahasa bahasa Aymara selama tiga tahun.

    Bahasa Aymara dan bahasa Korea mempunyai akar-umbi yang berbeza, tetapi mempunyai struktur tatabahasa yang serupa, dan konsonan yang datang dalam tiga jenis – konsonan bersuara, konsonan tanpa suara dan konsonan aspirasi.

    Walau bagaimanapun, usaha tersebut tidak membawa kepada penerimaan Hangeul yang meluas di rantau berkenaan.

    “Penduduk Aymara tidak menggunakannya,” kata ahli linguistik Kwon Jae-il, yang mengetuai projek Aymara, dalam perbualan telefon. “Mereka telah menggunakan abjad Roman, dan pastinya sukar untuk beralih kepada Hangeul.”

    Projek Cia-Cia

    Penyebaran Hangeul secara besar-besaran dan bertahan lebih lama berlaku di sebuah pulau di Indonesia.

    Pada 2009, sekumpulan sarjana yang dipanggil Masyarakat Hunmin jeongeum mencadangkan satu projek untuk memperkenalkan Hangeul kepada suku Cia-Cia – populasi 70,000 orang – di Kota Bau-Bau di Pulau Buton di Sulawesi Tenggara, Indonesia.

    Kebanyakan penduduk Cia-Cia bertutur dalam bahasa Indonesia, yang ditulis dalam abjad Roman, tetapi bahasa asli suku tersebut hampir pupus kerana tidak mempunyai sistem penulisan dan semakin kurang orang yang menggunakan bahasa tersebut.

    Menurut Masyarakat Hunmin jeongeum, abjad Roman mempunyai beberapa kekangan apabila membabitkan usaha mentranskripsikan dengan tepat bunyi-bunyi dalam bahasa Butonese. Namun Hangeul, disebabkan sifat fonemiknya, dapat memberikan representasi yang lebih tepat tentang bunyi bahasa tersebut.

    Pada tahun 2010, timbulnya publisiti media di Korea Selatan mengenai ‘pengeksportan’ Hangeul kepada penduduk asli Indonesia dan kerajaan Indonesia telah ‘meluluskan penggunaan rasmi Hangeul’ oleh suku Cia-Cia sebagai sistem penulisannya.

    Pegawai Indonesia kemudiannya membantah laporan tersebut. Warga Korea yang terlibat dalam projek berkenaan juga berkata media Korea telah salah menterjemahkan kata-kata datuk bandar Bau-Bau.

    Institut Raja Sejong dibuka di pulau itu pada 2012 untuk mengajarkan bahasa Korea, namun ditutup hanya tujuh bulan kemudian kerana masalah kewangan dan kekurangan komitmen kerajaan.

    Meskipun kesilapan diplomasi sebelumnya dan dana yang sedikit, suku Cia-Cia terus belajar bahasa Korea disebabkan tiga orang guru, termasuk seorang warga Korea bernama Chung Deok-young dan seorang suku asli Cia-Cia bernama Abidin, yang mengajar selama bertahun-tahun dengan sokongan kewangan minimum daripada penderma.

    Kelas sekolah rendah di Pulau Buton dikendalikan dalam bahasa Indonesia, namun murid-murid belajar bahasa Cia-Cia sekali seminggu menggunakan buku teks yang ditulis dalam versi Hangeul diubahsuai yang dibangunkan oleh ahli bahasa Korea, Lee Ho-young.

    Beberapa sekolah menengah dan tinggi di Buton juga menggunakan bahasa Korea sebagai mata pelajaran bahasa asing kedua.

    Beribu-ribu pelajar Cia-Cia telah belajar bahasa Korea atau Hangeul setakat ini, dan huruf Korea mudah dilihat pada isyarat jalan raya atau papan tanda di Bau-Bau.

    Tahun lalu, sebuah kamus Cia-Cia-Korea diterbitkan selepas usaha lebih 10 tahun.

    Institut Raja Sejong dibuka sekali lagi pada tahun lalu di Bau-Bau dengan sokongan daripada Yayasan Budaya Wonam, yang menaja Masyarakat Hunmin jeongeum untuk menyebarkan Hangeul.

    Sebuah sekolah Hangeul juga dibuka pada bulan Ogos tahun lalu, dengan tajaan daripada syarikat insurans nyawa Korea Selatan, Kyobo Life Insurance.

    Impian ahli linguistik

    Seperti yang dilihat dalam kes Cia-Cia dan lainnya, memperkenalkan Hangeul kepada komuniti asing mungkin menimbulkan pelbagai isu kompleks yang merangkumi faktor-faktor budaya, sejarah dan geopolitik.

    Meskipun mempunyai niat yang baik dan ciri-ciri linguistik Hangeul yang versatil, timbulnya risiko usaha sedemikian mungkin dianggap sebagai sejenis kolonialisme linguistik, pakar mengingatkan.

    Itulah sebabnya mengapa kerajaan pusat atau organisasi yang dibiayai kerajaan berdepan kesukaran memimpin projek-projek penyebaran Hangeul, menurut Kwon, pemimpin projek Aymara yang sekarang menjadi Pengerusi Persatuan Bahasa Korea yang berusia 115 tahun.

    “Tidak ada kerajaan negara yang akan meluluskan penggunaan tulisan negara lain bagi rakyatnya”.

    Menurutnya, projek-projek seumpama itu hanya dapat disokong oleh kumpulan bukan kerajaan, individu atau perniagaan.

    Namun, mendapatkan sokongan mereka adalah usaha yang sukar dilakukan.

    Beberapa tahun yang lalu, satu kumpulan yang terdiri daripada IT profesional, pakar bahasa komputer dan pakar linguistik membangunkan sistem input teks Hangeul untuk peranti yang membolehkan seseorang menaip dalam lima bahasa, termasuk Aymara, Tionghoa dan Cia-Cia.

    Namun, sistem tersebut tidak pernah dimanfaatkan secara komersial kerana pengeluar telefon bimbit tidak menunjukkan minat.

    Meskipun usaha penerimaan Hangeul di luar negara dipenuhi cabaran, masih ada kumpulan yang tetap komited terhadap wawasan asal Raja Sejong untuk membangunkan sistem penulisan yang ‘memanfaatkan masyarakat’ dengan mempromosikan literasi.

    Lee Moon-ho, pengerusi lembaga Masyarakat Hunmin jeongeum berkata impiannya adalah melihat satu bilion orang di seluruh dunia menggunakan Hangeul.

    “Saya berharap dapat melihat jumlah penutur bahasa Korea – yang termasuk lebih daripada 80 juta penutur asli – melebihi 100 juta memandangkan ia akan memberikan pengaruh yang lebih besar (sebagai bahasa utama), dan impian saya adalah lebih satu bilion orang menggunakan Hangeul,” ujarnya. – ANN/Korea Herald

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda