BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa Brunei boleh belajar daripada pengalaman luas Mesir dalam memelihara artifak dan dokumen sejarah memandangkan Mesir adalah negara yang kaya dengan sejarah dan kebudayaan.
Ketika bertitah semasa mengadakan perjumpaan dua hala dengan Presiden Mesir, Tuan Yang Terutama Abdel Fattah El Sisi di Presidential Lounge, Ittihadiyah Palace, Baginda menyatakan harapan agar lebih ramai pertukaran antara masyarakat di kalangan pegawai kerajaan dan swasta bagi memudahkan perhubungan, mempromosikan pelancongan dan mengukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang baharu antara Brunei dan Mesir.
Baginda turut berkenaan melahirkan harapan agar dapat meneroka peluang bagi memudahcara perdagangan dan pelaburan antara dua negara serta menyambut baik penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di dalam kerjasama ekonomi dan teknikal.
Dalam pertemuan itu juga, kedua-dua pemimpin telah berbincang mengenai isu-isu dua hala serta bertukar-tukar pandangan tentang hal ehwal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Dalam pada itu, TYT Presiden Mesir juga bercakap mengenai perkembangan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan memberi tumpuan kepada mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang pengetahuan Islam, pendidikan, pertukaran antara pegawai kerajaan serta meneroka bidang pelaburan baru dan kerjasama belia.
Mengenai hal ehwal antarabangsa, TYT menyentuh tentang perkembangan terkini di rantau Timur Tengah dan ASEAN.
Mengenai ketegangan yang berlaku di Timur Tengah, Baginda Sultan dan TYT bersetuju agar konflik berkenaan diusahakan secara kolektif bagi mencapai penyelesaian yang terbaik.
