Sunday, April 13, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Belajar hidup dengan COVID-19’

    LONDON, 5 JULAI – Perdana Menteri Boris Johnson hari ini mengumumkan satu pelan untuk membatalkan kebanyakan sekatan pandemik di England bermula 19 Julai, ketika beliau menggesa orang awam supaya ‘belajar hidup dengan koronavirus.’

    Johnson pada mulanya menyasarkan pembukaan semula sepenuhnya pada 21 Jun, tetapi dipaksa menunda tarikh itu disebabkan peningkatan dalam varian Delta.

    Varian itu kini menyumbang kepada hampir kesemua kes baharu COVID-19 di Britain, dan kadar jangkitan telah meningkat, tetapi vaksinasi besar-besaran telah mengelak peningkatan dalam kemasukan ke hospital atau kematian.

    Perdana menteri itu dijangka menggaris kasar pelonggaran untuk England pada sidang media petang ini. Negara lain UK – Scotland, Wales dan Ireland Utara mengambil langkah lebih perlahan.

    “Disebabkan kejayaan pelaksanaan program vaksinasi kami, kami akan mengambil langkah seterusnya dengan hati-hati,” kata Johnson, berjanji akan ‘memulihkan kebebasan penduduk.’

    “Namun saya mesti tekankan bahawa pandemik belum berakhir dan kes akan terus meningkat pada minggu-minggu akan datang,” tambah beliau.

    “Ketika kita belajar hidup dengan virus ini, kita mesti mengendali risiko dengan hati-hati dan membuat pertimbangan yang baik semasa menjalani kehidupan harian.”

    Menteri jagaan Helen Whately berkata 86 peratus daripada orang dewasa British telah menerima suntikan dos pertama vaksin koronavirus dan 63 peratus dos kedua mereka.

    “Maka ia adalah perlindungan jauh lebih tinggi daripada COVID-19,” beritahunya kepada Sky News. – AFP

    Perdana Menteri Boris Johnson semasa lawatannya ke kilang Nissan di Sunderland, England.Johnson hari ini mengumumkan satu pelan untuk membatalkan kebanyakan sekatan pandemik di England bermula 19 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda