“Saya tidak tertekan dengan pelbagai kritikan yang dilemparkan warganet. Mereka bebas berkata apa sahaja dan semua itu di luar kawalan saya. Boleh sahaja saya membidas semula setiap kecaman yang dilemparkan, tetapi untuk apa? Sebagai selebriti, saya perlu bijak mengawal emosi dan tidak menggunakan media sosial untuk menonjolkan pengaruh tidak baik,” kata pelakon jelita, Mira Filzah.
Seiring populariti yang diraih, Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, akur ada harga yang perlu dibayar apabila berada pada tahap itu.
“Pasti ada yang senang, tidak kurang yang cuba mencari dan mencungkil kelemahan serta kesilapan kita. Serangan itu semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Setiap orang mahu memberikan pendapat dan menegakkan pandangan mereka. Saya bagaimanapun, tidak mahu terlalu memikirkan pandangan orang lain, terutama mereka yang hanya mencari kelemahan dan kesilapan. Apa yang lebih penting adalah menjaga hati dan perasaan kedua-dua orang tua.
“Mereka sentiasa memerhati setiap pergerakan dan tindak-tanduk saya. Itu yang saya jaga kerana tidak mahu perbuatan saya mengguris perasaan mereka,” katanya yang sedang popular menerusi drama Sweet Dreams.
Bakal muncul dengan filem Sangkar yang menemui penonton bermula 29 Ogos ini, Mira berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki, apatah lagi produksi arahan Kabir Bhatia itu adalah lakonan pertamanya di layar perak.
“Saya nyaris tidak dapat berlakon kerana tawaran itu datang ketika jadual kerja sangat padat.
Apabila melihat hasilnya, banyak kekurangan yang saya lihat dan perlu diperbaiki. Antara kelemahan yang saya kenal pasti dari segi mendalami emosi dan watak, malah wajah saya juga agak lesu. Ketika itu, saya terkejar-kejar, memandangkan turut terikat dengan komitmen lain. Insya-Allah, jika ada peluang lain di layar perak, saya berusaha untuk memberikan mutu kerja yang lebih baik,” katanya.
Dalam filem yang diterbitkan hasil kerjasama empat syarikat iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment, Mira membawa watak sebagai jururawat yang juga adik kepada Remy Ishak. – Agensi
