Mengajar kanak-kanak untuk bersikap baik dan belas kasihan terhadap haiwan merupakan cara paling berkesan untuk mewujudkan empati terhadap haiwan.
Cinta mempunyai pelbagai bentuk. Emosi yang dikongsi antara pasangan, rakan dan ahli keluarga semuanya boleh dikategorikan sebagai cinta. Tetapi satu contoh utama yang banyak kita lupa apabila kita memikirkan cinta ialah kasih sayang antara manusia dan haiwan.
Bagi orang yang membesar di sekeliling haiwan, menjaga mereka adalah naluri kedua.
Tetapi bagi individu yang tidak membesar dengan haiwan peliharaan atau diajar untuk takut kepada haiwan, mempelajari cara mengasihi dan menjaga haiwan boleh menjadi agak mencabar.
Beberapa pencinta haiwan dan aktivis hak haiwan Nepal menerangkan kaedah paling berkesan untuk mengajar seseorang menyayangi dan menjaga haiwan.
Mulakan dari kawasan awda
Srijana Thakuri, Pengasas Shree’s Animal Rescue Nepal, menyatakan bahawa individu yang belum selesa menjaga haiwan boleh bermula dengan menjaga haiwan terbiar di kawasan kediaman mereka.
Ini bukanlah tugas yang sukar kerana setiap kejiranan mempunyai berpuluh-puluh haiwan terbiar terutama anjing dan kucing.
Dengan hanya memberi haiwan tersebut makan pada setiap hari atau sekurang-kurangnya setiap kali awda melihat haiwan tersebut akan membuat dunia berubah untuk haiwan itu.
Dan apabila haiwan ini mula mengenali awda sebagai orang yang baik hati yang memberi ia makan, ia akan gembira setiap kali ia melihat awda, mencurahkan kasih sayang dengan cara ia sendiri kepada awda.
Melakukan ini dengan kerap boleh menjadikan awda lebih selesa berinteraksi dengan haiwan dan akhirnya menggalakkan awda untuk mendapatkan haiwan kesayangan awda sendiri.
Ajar ketika masih muda
Mengajar anak-anak untuk bersikap baik dan belas kasihan terhadap haiwan merupakan cara paling berkesan untuk menyebarkan kebaikan terhadap haiwan. Ia boleh menjadi agak sukar untuk mengajar individu yang lebih tua untuk mula menyayangi haiwan jika mereka telah menghabiskan seluruh hidup mereka untuk mengelakkannya.
Contoh paling biasa bagi fenomena ini, menurut Thapa, adalah orang yang mengelak anjing kerana takut ia akan menggigit mereka.
Tetapi anjing, secara semula jadi, adalah antara haiwan yang paling jinak dan paling setia.
Dia menyatakan bahawa sangat mustahil seekor anjing akan membahayakan awda tanpa sebab. Tetapi orang yang takut dengan anjing pada zaman kanak-kanak mungkin akan kekal seperti itu sehingga dewasa.
Jadi, tanggungjawab terbesar untuk menyebarkan kebaikan dan kasih sayang kepada haiwan tetap terletak pada ibu bapa kerana merekalah yang menyemai nilai yang akan membentuk kehidupan anak-anak mereka.
Buat secara minimum
“Walaupun itu tidak berlaku untuk semua orang, saya mendapati bahawa ramai individu yang tidak menggemari haiwan boleh menjadi kejam kepada haiwan,” kata Khageshwaar Sharma, pengarah Himalaya Animal Rescue Trust (HART).
Dia menyatakan bahawa dia telah melihat individu berusaha untuk menyeksa dan mencederakan haiwan dengan memukulnya dengan batu kerikil dan mengejar haiwan dengan basikal semata-mata kerana terhibur.
Thakuri mendedahkan bahawa hanya beberapa hari yang lalu, dia mendengar tentang seorang lelaki membakar sekumpulan anak anjing yang baru lahir hanya kerana haiwan tersebut berada di tempat lelaki itu untuk bermain-main antara satu sama lain.
“Jika awda tidak mengambil berat tentang haiwan, biarkan ia bersendirian,” kata Sharma. – ANN/Kathmandu Post