Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belajar tatacara keselamatan kebakaran

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 14 NOV – Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Operasi B di Jabatan Bomba dan Penyelamat telah melaksanakan Projek Pemimpin Akar Umbi sebagai sebahagian daripada Program Lifesaver 995, yang melibatkan empat pemimpin akar umbi dan 14 penduduk Mukim Liang dari 12 hingga 13 November.

    Sepanjang pelaksanaan projek ini, para peserta diberikan taklimat keselamatan kebakaran dengan penerangan tatacara penggunaan alat pemadam api dan selimut api. Selain itu, para peserta juga diberi tunjuk ajar tatacara pengendalian hos bagi mengemas aliran untuk memastikan penduduk kampung mempunyai pengetahuan asas selaku responden pertama dalam menghadapi kebakaran sebelum kereta bomba sampai.

    Majlis itu diselajurkan dengan penyerahan alat kelengkapan memadam kebakaran bagi Projek Pemimpin Akar Umbi berupa tiga hos pemadam kebakaran, satu muncung dan satu key and bar kepada Ketua Kampung Perumahan Negara Lumut 1, Awang Saini bin Ismail oleh Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Azmi bin Haji Hafneh.

    Pada hari terakhir, para pemimpin akar umbi dan penduduk yang mengambil bahagian berpeluang mempamerkan kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang program dan mengamalkannya dalam simulasi kebakaran sebagai sebahagian daripada demonstrasi memadamkan kebakaran.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pengarah Operasi, Awang Nohi Irwan Surkarki bin Haji Pawi, Penghulu Mukim Liang, Haji Mohamad Yamin bin Haji Abdul Ranni, serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung.

    JBP menyatakan projek itu akan terus dijalankan secara berperingkat, sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan jabatan yang bertujuan untuk memperkukuhkan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian kawasan persekitaran ketika menghadapi potensi bencana.

    Jabatan itu menambah setakat ini, seramai 56 penghulu dan ketua kampung yang mewakili 18 mukim di seluruh negara telah menyertai Program Lifesaver 995 dan menerima peralatan pemadam kebakaran di bawah inisiatif tersebut.

    Awang Saini menerima peralatan kebakaran yang disampaikan oleh Awang Azmi pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Gambar ramai peserta semasa program itu. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda