Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Untuk mempelajari cara-cara menanam karang di laut, seramai 26 orang belia termasuk seorang budak berusia 10 tahun telah menyertai acara ketiga Reef Ball Discovery, anjuran Minggu Lautan Brunei, hari ini.
Menerusi acara itu, para sukarelawan memasang 10 bebola terumbu yang direka oleh golongan pelajar dari pelbagai sekolah yang mengambil bahagian dalam Brunei Reef Ball Program bagi mempromosikan kerjasama di seluruh sekolah yang terlibat.
Acara ini bukan hanya memupuk minat para peserta terhadap lautan tetapi juga keinginan mereka untuk memahami kesan bebola terumbu ke atas ekosistem marin dan potensi peranan mereka dalam usaha pemuliharaan. Dalam pada itu, peserta yang terlibat dengan penuh semangat belajar cara menanam karang dan membuat 60 coral plugs di atas kapal.
Kakitangan penyelam Poni Divers telah membantu dalam sesi penanaman karang pada bebola terumbu, sekali gus memberikan peluang pembelajaran yang berharga kepada golongan belia untuk memperoleh teknik yang betul untuk penanaman karang. Di samping itu, mereka juga menimba pengetahuan mengenai pelbagai jenis karang semasa sesi tersebut.
Memandangkan ancaman pelunturan karang terus meningkat di Brunei dan di seluruh dunia dalam kejadian pelunturan karang global ke-4, adalah penting untuk semua memperdalam pemahaman tentang karang dan mengambil bahagian secara aktif dalam pemulihannya.
Terumbu karang, sering dirujuk sebagai ‘hutan hujan laut’ adalah penting untuk kepelbagaian biologi marin, menyediakan habitat untuk spesies yang tidak terkira banyaknya selain melindungi komuniti pantai daripada hakisan dan ribut.



Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, peningkatan suhu laut dan pengasidan lautan telah menyebabkan pelunturan karang yang meluas, di mana karang kehilangan warna cerah dan alga simbiotik penting, justeru terdedah kepada penyakit dan kematian.
Fenomena ini telah diperhatikan dengan kekerapan yang semakin meningkat di perairan Brunei, sekali gus menimbulkan ancaman besar kepada ekosistem marin dan mata pencarian yang bergantung padanya.
Oleh yang demikian, mempelajari tentang karang dan melibatkan diri dalam inisiatif penanaman karang adalah langkah penting dalam mengurangkan kesan ini. Dengan mendidik masyarakat tentang kepentingan terumbu karang, penjagaan alam sekitar yang lebih baik dapat dipupuk dan memacu tindakan kolektif.
Penanaman karang bukan sahaja membantu memulihkan terumbu yang rosak tetapi juga berfungsi sebagai usaha pemuliharaan secara langsung yang memperkasakan individu untuk menyumbang secara langsung kepada pemuliharaan marin.
Sempena hari penanaman karang terbesar dalam sejarah Brunei, acara Big Blue Hope akan membuktikan komitmen Poni Divers untuk memulihkan terumbu yang rosak dan membina masa depan yang berdaya tahan untuk lautan kita.