Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Seramai 12 orang belia lelaki yang berumur antara 18 hingga 35 telah menyertai Kursus Asas Penyelamat Kelemasan yang diadakan Kolam Renang Pusat Belia di ibu negara, baru-baru ini.
Kursus anjuran Jabatan Belia dan Sukan melalui Pusat Belia itu antara lain bertujuan memberikan kemahiran bertaraf profesional untuk bertindak dengan teknik yang betul dalam situasi kecemasan semasa menyelamat mangsa yang lemas dalam air.
Di samping itu, ia juga sebagai asas menyediakan dan memberikan pendedahan dari segi teknik, prosedur dan pengurusan yang betul kepada seorang penyelamat untuk menyelamat mangsa dalam air serta memberikan penerangan mengenai keselamatan di air yang dapat mencegah kejadian lemas.