Belalang juta diternak untuk makanan

GOLAN HEIGHTS – Daripada wabak kepada protein era moden ini, sebuah firma di Israel mahu menjadikan belalang juta satu makanan pilihan mapan.

Di ladang Hargol Foodtech di Golan Heights, satu petak segi empat bujur yang pernah dijadikan reban ayam kini dipenuhi dengan ribuan belalang juta, spesies belalang yang mempunyai fasa pembinasa dalam kumpulan besar.

Dikurung dalam beberapa siri kurungan bertingkat yang mempunyai kawalan iklim, serangga tersebut diberikan makanan rumput sepanjang tiga bulan kitaran hayat mereka, sebelum disejukkan, dibunuh dan dibakar.

Ketua eksekutif Hargol Dror Tamir memberitahu AFP beliau membesar mendengar cerita bagaimana belalang juta memusnahkan ladangnya pada 1950.

Namun penduduk setempat di kawasan tidak menganggap belalang juta sebagai haiwan perosak tanaman, tetapi sebagai sumber protein yang boleh dimakan, kata Tamir.

Apabila dewasa, Tamir menjadi usahawan makanan dan nutrisi yang bimbang mengenai kesan alam sekitar ke atas penduduk yang semakin meningkat di dunia.

Tamir berkata beliau menubuhkan Hargol, Bahasa Yunani untuk belalang, enam setengah tahun lalu selepas menyedari serangga itu merupakan jawapan kepada sumber makanan yang tidak mencukupi.

Matlamat syarikat adalah menjadi ‘yang pertama di dunia untuk menternak belalang pada skala komersial, dan menyediakan dunia dengan sumber protein yang lebih sihat dan mampan.”

Ram Reifen, profesor nutrisi manusia di Universiti Hebrew, bersetuju planet sedang berdepan cabaran bekalan makanan yang meningkat.

Dengan jumlah penduduk dunia dijangka mencecah 10 bilion pada 2050, menternak haiwan untuk memberi makan kepada planet akan menjadi semakin sukar, berdasarkan sumber air dan tanah yang diperlukan. – AFP

Seorang pekerja di ladang penternakan belalang Hargol melihat belalang di ladang di penempatan Kidmat Tzvi, Golan Heights. – AFP