EINDHOVEN, 8 SEPT – Pasukan Belanda kelmarin meledak tiga gol pada separuh masa pertama menentang Greece di Eindhoven, dan melakar kemenangan yang membantu mereka meraih tempat kedua dalam Kumpulan B kelayakan Euro 2024.
Selepas tewas 4-0 di tangan Perancis dalam perlawanan pembukaan pada Mac, Belanda kemudiannya menewaskan Gibraltar 3-0 untuk memasuki perlawanan ketiga mereka di tempat keempat dalam kumpulan.
Belanda mendahului pada minit ke-17 apabila Denzel Dumfries menanduk masuk bola hasil tendangan sudut dari Daley Blind dan Marten de Roon menyudahkan gol tersebut.
Dumfries menyumbang gol kedua Belanda pada minit ke-31, dengan memberikan hantaran kepada Cody Gakpo dalam petak penalti lalu berjaya merembat masuk.
Lapan minit kemudian, Dumfries menemui Wout Weghorst yang bersendirian di depan pintu gol dan penyerang Hoffenheim itu menanduk bola ke sudut gawang.
Jurulatih Belanda, Ronald Koeman dapat menurunkan beberapa pemain utamanya pada separuh masa kedua dan memberikan peluang kepada Tijjani Reijnders untuk membuat penampilan sulungnya dalam pasukan kebangsaan.
Belanda berjaya memintas Ireland dan Greece untuk menduduki tempat kedua dalam kumpulan. Mereka ketinggalan sembilan mata dibelakang pendahulu Perancis, yang menewaskan Ireland 2-0 di Paris, tetapi mempunyai kelebihan dua perlawanan.
Sementara itu, Perancis akan beraksi dalam perlawanan persahabatan minggu depan, manakala Belanda akan berkunjung ke Dublin pada Ahad. Greece yang diterajui oleh Gustavo Poyet akan menerima kunjungan Gibraltar. – AFP
