DUNEDIN, NEW ZEALAND, 1 OGOS – Belanda berjaya mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia Wanita sebagai juara kumpulan mendahului juara bertahan Amerika Syarikat dengan menumpaskan Vietnam 7-0 hari ini.
Esmee Brugts dan Jill Roord kedua-duanya menjaringkan dua gol dalam kemenangan terbesar di Piala Dunia Wanita, mengatasi kemenangan 6-0 Jerman ke atas Maghribi.
Seramai 8,215 penonton hadir bagi menyaksikan bonanza gol Belanda di Dunedin.
Vietnam terpaksa berhadapan tekanan seawal minit pembukaan ketika Belanda mencatatkan 42 sepakan ke gawang sepanjang 90 minit perlawanan.
Lieke Martens menjaringkan gol pertama selepas lapan minit permainan apabila dia mengelecek pemain lawan dan penjaga gol Vietnam, Thi Kim Thanh Tran.
Penyerang Katja Snoeijs menjadikan kedudukan 2-0 tiga minit kemudian apabila dia melakukan percubaan melepasi Tran yang terkandas.
Selepas gol ketiga Brugts yang hebat, Roord menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-23 menerusi sepakan voli.
Sebelum separuh masa hampir tamat, Tran melakukan penyelamatan hebat untuk menafikan Roord, tetapi pemain tengah Danielle van de Donk bersedia menjaringkan rebound untuk menjadikan kedudukan 5-0 pada waktu rehat.
Tran digantikan oleh Thi Hang Khong pada separuh masa kedua, manakala Wieke Kaptein yang berusia 17 tahun muncul untuk membuat penampilan ketiga bagi Belanda.
Brugts sekali lagi menjaringkan gol, kali ini dari luar kotak penalti, apabila dia merembat dengan kencang ke sudut bertentangan yang tidak memberi peluang kepada Khong.
Martens menjaringkan gol yang dinafikan oleh VAR sebelum Roord, yang juga menyambar tiang, menanduk masuk gol ketujuh ketika perlawanan berbaki tujuh minit. – AFP